Jumaat, 29 Mei 2009

100,000 dicengkam ah long

BERNAMA


KUALA LUMPUR - CUEPACS hari ini menggesa institusi kewangan menyediakan peruntukan khas bagi memberi pinjaman peribadi kepada petugas awam yang terperangkap dengan pinjaman wang ah long.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd. Zin memberitahu, 10 peratus atau kira-kira 100,000 petugas awam berada dalam cengkaman ah long dan petugas ini memerlukan bantuan.

Beliau berkata, kebanyakan mereka diganggu oleh ah long hampir setiap hari dan ini menjejas produktiviti mereka.

Beliau berkata, jika institusi kewangan boleh membantu, ini amat disambut baik oleh kerana adalah lebih murah dan selamat bagi petugas awam berurusan dengan institusi berkenaan daripada dengan al long.

Ahmad Shah memuji Malaysia Building Society Berhad (MBSB) kerana memperuntukkan RM100 juta bagi menyediakan pinjaman peribadi untuk guru-guru.

Pengerusi MBSB, Tan Sri Abdul Halim Ali, ketika mengumumkan demikian semalam berkata, pinjaman maksimum di bawah skim itu ialah RM150,000 bagi tempoh 15 tahun pada kadar faedah 5 peratus setahun. MBSB turut memperkenalkan skim serupa kepada polis Mac lepas.

Ahmad Shah berkata, bank dan institusi kewangan lain wajar mencontohi MBSB.

Beliau juga berharap MBSB akan memperluaskan kemudahan pinjaman kepada kategori petugas lain.

Katanya, adalah satu langkah yang berdaya maju jika bank dan institusi kewangan memberi pinjaman kepada petugas awam oleh kerana bayaran balik pinjaman boleh dipotong dari gaji bulanan menerusi ANGKASA - badan koperasi kebangsaan. Ahmad Shah menggesa pihak berkuasa memperhebat kempen menghapus aktiviti ah long yang mengganggu masyarakat.

Tiada ulasan: