Rabu, 15 April 2009

Wanita dituduh beri komen lucah kepada Sultan Perak

MALAYSIA KINI


Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth terhadap tuduhan mengedar komen lucah mengenai Sultan Perak di pautan ke laman web pejabat baginda.

Khoo Hui Shuang, 27, didakwa melakukan perbuatan itu bersama- sama suaminya Chan Hon Keong, 26, di No 5, Lorong Arowana Emas 2, Taman Arowana Emas, Permatang Pauh kira-kira pukul 12.05 pagi, 13 Feb lepas.

Wanita itu dituduh melakukan kesalahan itu menurut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut Bernama, suami Khoo telah didakwa di mahkamah yang sama atas pertuduhan yang sama pada 13 Mac lepas.

Pendakwaan terhadap Khoo dijalankan hari ini kerana tidak hadir di
mahkamah untuk prosiding pada 13 Mac lepas kerana berada di Sarawak.

Khoo diwakili peguam Jagdeep Singh Deo, manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Radhi Abas.

Selain pertuduhan itu, Khoo juga menghadapi pertuduhan pilihan bersama-sama suaminya mengedarkan komen lucah itu menggunakan
internet dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara minimum setahun, jika didapati bersalah.

Hakim Julie Lack Abdullah menetapkan 20 Mei ini untuk sebutan kedua-dua kes itu, lapor agensi berita itu lagi.

Beliau membenarkan Khoo diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Tiada ulasan: