Khamis, 30 April 2009

Ustaz Mat Iraq hasrat undur ketuai Dewan Ulamak Pusat

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU - Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud memberitahu tidak akan mempertahankan jawatannya pada muktamar yang akan diadakan Jun depan.

Difahamkan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Hashim Jasin juga bakal mengambil langkah serupa.

"Kami menarik diri daripada jawatan yang disandang pada muktamar tidak lama lagi. Keputusan itu dibuat pada mesyuarat jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat di Perak baru-baru ini atas alasan kesihatan.

"Lagi pun dalam Dewan Ulamak sudah ada ramai pemimpin pelapis," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, pengganti yang akan mengisi tempat tersebut sudah ada sekiranya tiada pertandingan dalam muktamar nanti.

Kebiasaannya kata beliau tiada pertandingan jawatan tertinggi Dewan Ulamak sebelum ini.

Menurutnya juga bagi jawatan Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan beliau sedia mempertimbangkan sekiranya masih lagi diberi kepercayaan.

"Ini kerana kalau sekadar di Kelantan saya lebih mudah bergerak berbanding terpaksa turun ke negeri-negeri lain. Eloklah orang muda yang lebih bertenanga mengganti saya di pusat," ujarnya.

Mohamed mengetuai Dewan Ulamak PAS Pusat menggantikan Dato' Harun Taib yang tidak mempertahankan jawatannya pada muktamar dua tahun lepas. - mj _

Tiada ulasan: