Khamis, 16 April 2009

Usahawan Bumiputera kecewa MECD dibubar

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Majoriti usahawan Bumiputera khususnya orang Melayu kecewa dengan pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), kata Pengerusi Biro Ekonomi dan Keusahawanan Majlis Veteran UMNO, Datuk Razali Isohak, semalam.

Razali berkata, sepatutnya kementerian itu perlu diperkukuh dan dipertahankan bagi memperjuangkan nasib usahawan Bumiputera yang masih jauh ketinggalan berbanding usahawan kaum lain.

“Kita nampak Bumiputera khususnya orang Melayu paling teruk dalam ekonomi. Sekarang ekuiti ekonomi Melayu hanya 18 peratus saja dan masih jauh dengan sasaran kerajaan untuk mencapai 30 peratus ekonomi Melayu.

“Dengan pembubaran MECD, usahawan-usahawan ini sudah tidak lagi ada ‘one stop agency’ untuk membuat rujukan atau aduan jika menghadapi sebarang masalah,” katanya.

Mengenai khabar angin mengatakan kerajaan baru terpaksa membubarkan MECD kerana menerima tekanan daripada parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), beliau berkata, jika benar, ia sepatutnya tidak berlaku.

“Jika adapun, pendekatan yang paling baik adalah duduk semeja berbincang atau menjadi rakan ekonomi dalam mengatasi masalah ini. Tidak semestinya Melayu saja yang hadapi masalah ekonomi, kaum lain pun ada,” katanya.

Razali turut menggesa kerajaan agar tidak mengambil masa lama untuk menjelaskan kepada masyarakat Melayu kenapa MECD yang menjadi simbol memperkasa ekonomi Melayu terpaksa dibubarkan.

“Saya menyarankan agar wajar wujud satu mekanisme khusus di Jabatan Perdana Menteri mengenai hal ini, dan ia dapat diakses terus kepada PM atau TPM,” katanya.

Sementara itu, nada yang sama turut diluahkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nordin Mahmud yang berkata, tindakan kerajaan dengan membubarkan MECD ini seolah-olah telah mengabaikan polisinya untuk memantapkan ekonomi orang Melayu.

“Saya bimbang terhadap empat juta pertubuhan koperasi dan enam juta ahli koperasi yang kehilangan tempat ‘berteduh’ dan ‘mengadu nasib’,” katanya.

Beliau berkata, ada ura-ura bahawa perkara yang berkaitan koperasi dan keusahawanan akan diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKWL).

“Jika benar ia akan diletakkan di bawah KKWL, saya tidak bersetuju kerana bukan semua usahawan dan koperasi berada di luar bandar,” katanya.

Tiada ulasan: