Jumaat, 24 April 2009

Umno Permatang Pauh akan cadang calon

MALAYSIA KINI


Umno Bahagian Permatang Pauh mula mengatur persiapan menghadapi pilihanraya kecil DUN Penanti termasuk mencadangkan seorang pemimpin sebagai calonnya.

Ketua bahagian itu Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata keputusan telah dibuat untuk mengemukakan hanya satu nama bagi pertimbangan presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

"Mesyuarat khas jawatankuasa bahagian telah membuat keputusan untuk mencadangkan satu nama sahaja sebagai tanda kesepakatan dan perpaduan kami di sini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini, malam tadi, lapor Bernama.

Bagaimanapun, katanya bahagian itu menyerahkan kepada Najib untuk membuat keputusan mengenai calon yang dirasakan layak dan boleh memberi kemenangan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

Beliau berkata bahagian itu akur kepada sebarang keputusan presiden parti mengenai perkara itu dan pada peringkat ini adalah terlalu awal baginya untuk menamakan calon berkenaan.

Abdul Jalil berkata bahagian itu juga telah melakukan "pembersihan" senarai ahli parti bagi memudahkan pihaknya mengatur strategi kempen kelak.

Dalam mesyuarat itu juga, sebanyak 22 jawatankuasa ditubuhkan untuk memastikan kelancaran operasi pilihanraya sekiranya presiden parti dan BN membuat keputusan untuk meletakkan calon parti itu bertanding di DUN Penanti.

"Kita hanya mengatur persiapan awal, sekiranya pucuk pimpinan BN membuat keputusan untuk bertanding, kita telah bersedia," katanya.

Bagaimanapun, perjalanan mesyuarat malam tadi itu dikatakan sedikit terjejas apabila beberapa pemimpin dilihat meninggalkan bilik mesyuarat secara tergesa-gesa difahamkan kerana perbezaan pendapat.

Tiada ulasan: