Jumaat, 24 April 2009

UMNO bersidang lagi 13 Oktober ini

KLPOS.COM


KUALA LUMPUR: Pindaan perlembagaan mengenai pemilihan UMNO akan dibentangkan pada Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2009 yang telah ditetapkan pada 13 hingga 16 Oktober depan untuk diluluskan oleh perwakilan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pindaan perlembagaan itu bagi memberi mandat kepada lebih ramai ahli memilih kepimpinan tertinggi parti.

''Pindaan perlembagaan itu akan membolehkan pemilihan dibuat secara serentak di 191 bahagian berbanding sekarang yang ditentukan hanya kira-kira 2,800 orang perwakilan yang dipilih untuk menghadiri perhimpunan agung parti.

''Perhimpunan Agung UMNO kali ke-60 ini diadakan selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membuat ucapan sulung sebagai Presiden UMNO pada 28 Mac lalu iaitu untuk membuat perubahan.

''Ia termasuk mewujudkan proses pemilihan yang lebih terbuka, telus dan demokrasi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Najib semasa menyampaikan ucapan sulung sebagai Presiden UMNO yang baru pada Perhimpunan Agung UMNO pada 28 Mac lepas mengumumkan parti akan meminda perlembagaan parti berkaitan pemilihan.

Ia antara lain mencadangkan sebanyak 60,000 perwakilan UMNO ke Persidangan Perwakilan Tahunan Bahagian mengadakan pengundian secara serentak untuk memilih anggota MT.

Tengku Adnan memberitahu, pindaan terhadap sistem kuota juga akan dilakukan yang mana pada masa ini, ahli-ahli yang ingin bertanding anggota MT perlu mendapat pencalonan yang mencukupi daripada bahagian-bahagian UMNO.

Kelayakan untuk bertanding jawatan Presiden perlu mendapat pencalonan sekurang-kurangnya 30 peratus dari 191 bahagian UMNO, Timbalan Presiden (20 peratus), Naib Presiden (10 peratus) dan ahli MT (lima peratus).

''Pindaan ini akan dibuat sebelum 16 Julai iaitu yang mana Mesyuarat Perwakilan Bahagian akan mula bersidang bagi membolehkan ia bincangkan bersama oleh bahagian-bahagian UMNO," katanya.

Tiada ulasan: