Isnin, 6 April 2009

Tiga bekas tahanan ISA kini di depot imigresen

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Tiga tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) warga asing yang telah meninggalkan Kem Tahanan Kamunting selepas dibebaskan hari ini, masih berada dalam negara.

Warga India Sundaraj Vijay dan dua warga Myanmar San Khaing dan Amir Hussain yang ditahan sejak 2007 kini ditahan sementara di Depot Tahanan Imigresen Langkap, Perak.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mahmood Adam ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya perlu menyelesaikan beberapa perkara termasuk urusan dokumentasi sebelum membuat tindakan susulan.

Tiga rakyat asing itu, yang ditahan mengikut ISA atas kesalahan memalsukan dokumen keselamatan, dibawa keluar dari kem tahanan itu kira-kira 10.45 pagi ini dengan sebuah kenderaan Jabatan Imigresen.

"Mereka kini berada dalam simpanan Imigresen sementara kami mempersiapkan dokumen berkaitan. Kita tidak boleh terus melepaskan mereka begitu sahaja malahan kita akan periksa latar belakang, kesalahan mereka dan perkara yang berkaitan terlebih dahulu sebelum meneruskan langkah seterusnya," katanya.

Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri pada 3 April lepas, mengumumkan pembebasan 13 tahanan ISA, termasuk tiga rakyat asing itu dan dua peguam Hindraf, V. Ganabatirau dan R. Kenghadharan.

Kesemua 13 tahanan terbabit keluar dari kem tahanan hari ini.

Tiada ulasan: