Selasa, 14 April 2009

Thai bergolak, 3 maut 94 cedera

AP


BANGKOK – Tiga orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 94 orang dilaporkan cedera selepas tentera Thailand melepaskan tembakan amaran ke udara dan menyembur gas pemedih mata bagi menyuraikan penunjuk perasaan antikerajaan dari sebuah persimpangan utama di ibu negara sebelum subuh hari ini.

Seorang lelaki terbunuh akibat tembakan semasa bergaduh dengan penyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, manakala remaja berusia 19 tahun dan mangsa berumur 54 tahun mati terkena tembakan dalam pertelingkahan antara penunjuk perasaan dengan penduduk tempatan berhampiran Rumah Kerajaan, kata Menteri Kabinet, Satit Wonghnongtaey.

Dr. Chatri Charoenchivakul dari Pusat Koordinasi Kecemasan Erawan pula berkata, sekurang-kurangnya 94 orang cedera kebanyakannya akibat terkena gas pemedih mata, sementara dua askar dan dua penduduk awam cedera terkena tembakan.

Penunjuk perasaan membalas dengan melemparkan sekurang-kurangnya satu bom gasolin terhadap barisan tentera.

Ketika kerajaan mengisytiharkan darurat, penunjuk perasaan mengawal banyak jalan raya di ibu negara Bangkok.

Terdahulu, kumpulan tersebut turut merampas bas-bas awam dan memaksa tentera menghentikan kenderaan mereka, malah dalam satu kes, penunjuk perasaan memanjat dua buah kereta perisai dan mengibarkan bendera sambil melaungkan perkataan ‘demokrasi’.

Sekumpulan perusuh baju merah semalam, turut bertindak memecahkan kereta rasmi Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva tetapi beliau tiada di dalamnya.

Menurut saksi, pertempuran pagi ini bermula antara pukul 4 pagi hingga 5 pagi waktu tempatan apabila pasukan tentera yang sedia bertempur bagi menyuraikan perusuh.

Askar melepaskan beratus-ratus tembakan menggunakan senapang automatik M-16, dengan wartawan AP menyifatkan ia disasarkan ke udara di atas kepala para penunjuk perasaan.

Penunjuk perasaan melemparkan bom petrol ke arah tentera.

Jurucakap tentera, Kolonel Sansern Kaewkamnerd berkata, penunjuk perasaan turut menggunakan gas pemedih mata selain ‘senjata’ bagi membalas tembakan askar.

Agensi Berita Thailand, TNA melaporkan tiga bom tangan dipercayai ditembak menggunakan pelancar bom tangan M-79, dilancarkan ke kawasan Mahkamah Perlembagaan.

Tiada ulasan: