Jumaat, 17 April 2009

Terengganu Hanya Terima RM 6.27 bilion dari Jumlah Keseluruhan RM 15.8 bilion Wang

Wartawan Buletin


Kuala Terengganu – Dari tahun 2000 hingga tahun 2008 Kerajaan Terengganu hanya menerima wang royalti petroleum sebanyak RM6.27 bilion daripada kerajaan pusat.

Jumlah wang yang sepatutnya diterima oleh kerajaan Terengganu dalam tempoh tersebut adalah RM15.847 bilion.

Menteri Besar Dato’ Ahmad Said berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Wakaf Mempelam, Hj Mohd Abdul Wahid Endut dalam sidang Dewan Undangan Negeri, semalam.

Ahmad turut mengumumkan, kerajaan negeri baru menerima sebanyak RM650 juta daripada jumlah yang sepatutnya diterima iaitu sebanyak RM1.394 juta sepanjang tempoh September 2008 hingga Mac 2009.

Ahmad berkata SPNB telah menggunakan RM873 juta wang royalti minyak Terengganu untuk melaksanakan projek perumahan di seluruh negara dan daripada jumlah itu hanya RM102 juta dibelanjakan untuk projek itu di negeri ini.

"Ini bermakna, SPNB masih berhutang sebanyak RM771 juta dengan kerajaan negeri manakala tuntutan untuk wang royalti yang dijadikan dana khas untuk negeri-negeri lain adalah sebanyak RM717 juta.

"Kita juga sedang berbincang untuk menuntut wang royalti minyak sebanyak RM2.6 bilion yang digunakan oleh kementerian-kementerian berkaitan bagi melaksanakan projek-projek di negeri ini termasuk pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan lebihan wang tersebut melalui perundingan sambil menjelaskan perkembangan terkini melibatkan perjanjian penarikbalikan kes mahkamah masih belum mencapai kata putus.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri menjangka perkara tersebut akan selesai dalam tempoh sebulan melalui satu perjanjian khusus yang membolehkan rakyat Terengganu menikmati hak royalti sewajarnya.

“Perjanjian penarikbalikan kes mahkamah belum lagi dibuat kerana ada masalah teknikal dan perundangan yang belum dapat dimuktamadkan dan dijangka dapat diselesaikan pada Mei nanti di mana satu perjanjian akan dibuat,” katanya.

Ahmad turut meminta Hj Wahid Endut bersabar apabila Bendahari PAS Terengganu itu turut mempersoalkan wang royalti yang belum diterima sedangkan kerajaan negeri telah menetapkan bajet RM1.799 bilion bagi tahun ini dalam sidang DUN Disember tahun lalu.

Tiada ulasan: