Isnin, 20 April 2009

Tanding: Bekas calon Penanti serah MT Umno putuskan

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Bekas calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid menyerahkan kepada pucuk kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) sama ada mahu meletakkan calon ataupun sebaliknya jika pilihan raya kecil diadakan.

"Bagi saya, kita ikut keputusan parti.. takut saya kata OK, parti kata tidak, dan kalau saya kata tidak, parti kata OK... tak cantik.

"Bagaimanapun kami Bahagian Permatang Pauh sudah bersedia untuk pilihan raya kecil ini jika parti bersedia untuk mengambil bahagian," kata beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Mohammad Fairus Khairuddin memperoleh 7,346 undi dengan majoriti 2,219 untuk menewaskan Abdul Jalil.

Ketika ditanya pandangan peribadi beliau sama ada wajar Umno dan BN bertanding di Penanti, Abdul Jalil memberitahu, beliau menyerahkan kepada parti membuat keputusan apabila mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Khamis ini.

"Kami sudah menyatakan pandangan dan sentimen pengundi Permatang Pauh kepada pucuk kepimpinan baru-baru ini," katanya.

BN juga telah tewas dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh Ogos lalu.

Bahagian Parlimen Permatang Pauh mempunyai tiga kerusi DUN iaitu Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya.

Mengenai sentimen pengundi kawasan Penanti, beliau berkata, pemilih kerusi tersebut mempunyai perasaan bercampur aduk.

"Ada yang bersetuju Umno bertanding dan ada yang tidak bersetuju.

"Tetapi pokoknya, ramai yang merasakan bahawa mereka telah ditipu oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila wakil rakyatnya meletakkan jawatan.

"Ini bukan permainan bola sepak... kalau suka main dan jika tidak suka, keluar padang... oleh itu pengundi rasa mereka sudah ditipu," katanya.

Jelas beliau, bahagian Permatang Pauh akan membincangkan soal calon hanya selepas mengetahui keputusan pucuk kepimpinan minggu ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu ini untuk menentukan tarikh pilihan raya kecil yang akan diumumkan dua hari kemudian.

Tiada ulasan: