Rabu, 29 April 2009

SPRM boleh pantau PAS, tetapi selesaikan dahulu rasuah Umno

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - PAS berpendirian terbuka seandainya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menjalankan pemantauan terhadap pemimpin yang bertanding sempena Muktamar PAS tahun ini.

Sebaliknya PAS juga menyarankan agar SPRM menyelesaikan dahulu kes-kes rasuah dalam Umno yang sehingga kini masih belum diambil tindakan sepenuhnya oleh badan itu, kata Ketua Penerangannya, Dato' Mahfuz Omar.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui dalam penyerahan memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu di sini semalam.

Secara umumnya kata Mahfuz, SPRM berhak menjalankan sebarang siasatan yang sewajarnya ke atas pemimpin PAS kerana SPRM sememangnya bertanggungjawab untuk menyiasat hal-hal melibatkan rasuah dan penyelewengan.

Namun siasatan itu katanya, tidak boleh dijadikan SPRM untuk mempunyai persepsi negatif terhadap parti politik lain hanya disebabkan parti Umno yang sudah sinonim dengan kes rasuah dan penyelewengan.

SPRM dinasihatkan terlebih dahulu perlu mengambil tindakan terhadap ahli-ahli Umno yang didapati terlibat dalam kes politik wang seperti Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin; dan Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Mahfuz turut meminta penjelasan daripada pihak SPRM berhubung pendakwaan kes rasuah ke atas bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz yang belum diketahui statusnya.

Mahfuz yakin dengan contoh pemerintahan bersih yang diamalkan kerajaan PAS Kelantan, dan pemilihan yang berjalan baik sebelum ini, akan diteruskan.

Beliau juga amat yakin pemimpin PAS bersih daripada sebarang kes penyelewengan mahupun gejala politik wang. - wann /mks. _

1 ulasan:

bukit teluk sera berkata...

kata le apa pun kat Suruhanjaya Pekak Rasuah Malaysia, bukannya dia mau dengar..

Rabun pulak tu..