Isnin, 6 April 2009

SPR: Kertas undi memang tiada nombor

MALAYSIA KINI


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan PKR bahawa ia melakukan satu kesalahan apabila kertas undi untuk pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau tidak mencetak nombor calon.

"Suka saya ingatkan bahawa kertas undi sejak pilihan raya pertama di negara ini tidak pernah mencetak nombor calon dan kertas undi cuma mempunyai nama calon dan lambang calon," kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar di Sungai Petani hari ini.

Sebaliknya, beliau berkata, parti-parti pembangkang seharusnya memahami undang-undang pilihanraya negara ini dan tidak membuat tohmahan yang boleh mengelirukan rakyat, lapor Bernama.

Mengikut Akta Pilihanraya 1958, katanya, SPR hendaklah mencetak kertas undi yang mempunyai tiga petak iaitu petak untuk nama calon, petak untuk lambang calon dan petak untuk memangkah.

Wan Ahmad berkata nombor-nombor calon yang diberikan kepada calon pilihanraya bertujuan untuk susunan senarai nama dalam kertas undi dan bukannya untuk dicetak dalam kertas undi.

Oleh itu, katanya, dakwaan PKR bahawa SPR melakukan satu kesalahan apabila penyediaan kertas undi tersebut kerana tidak mencetak nombor calon, adalah tidak berasas.

Menurut agensi berita itu lagi, Ketua Penerangan PKR Tian Chua mendakwa kertas undi bagi pilihanraya kecil Bukit Selambau mengelirukan kerana SPR tidak mencetak nombor giliran calon yang bertanding.

"Pada kertas pengundian kali ini tidak dicetak sekali nombor calon dan perkara ini tidak konsisten seperti pilihanraya yang diadakan sebelum ini.

"Ini akan mengelirukan pengundi," dakwanya.

Berikutan itu, katanya, PKR akan mengambil tindakan untuk membawa perkara itu ke mahkamah jika nombor calon tidak dicetak.

Pilihanraya DUN Bukit Selambau akan menyaksikan pertandingan 15 penjuru dengan 13 calon bebas serta seorang calon masing-masing daripada BN dan PKR.

Tiada ulasan: