Jumaat, 17 April 2009

Siapa calon PKR di Penanti?

SIASAH DAILY


PULAU PINANG : Spekulasi yang mengatakan bahawa bekas Timbalan Ketua Menteri I (TKM 1),Pulau Pinang,Mohammad Fairus Khairuddin akan mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) Penanti sudah menjadi kenyataan apabila Speaker DUN, Abdul Halim Hussain mengumumkan mengenai perletakan jawatan Fairus sebagai ADUN Penanti.

Bermulalah episod baru bagi Parlimen Permatang Pauh sekali lagi apabila pilihan raya kecil sudah pasti akan diadakan dalam jangkamasa 60 hari dari tarikh penerimaan kekosongan kerusi oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia(SPR).

Kelewatan mengumumkan calon bagi kerusi TKM 1 oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR),Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai agenda yang telah difikirkan dengan teliti sebelum tindakan tidak membuat pengumuman bagi kerusi tersebut diambil.

Fairus yang telah meletakkan jawatan sebagai TKM 1 berkuatkuasa pada 8 April yang lalu sudah diduga akan mengosongkan kerusi tersebut sebagai membersihkan nama beliau yang didakwa terlibat dalam kes kuari haram di Seberang Perai.

PKR negeri Pulau Pinang dibawah teraju Datuk Zahrain Mohamed Hashim telah membentuk satu jawatankuasa siasatan bagi menyiasat dakwaan oleh Ketua Angkatan Muda PKR Kepala Batas, Amizudin Ahmat.

Amizudin mendakwa terdapat kepimpinan tertinggi parti yang mendalangi operasi kuari haram tersebut dan menerima ganjaran daripada mereka. Ekoran daripada dakwaan beliau itu sebuah jawatankuasa siasatan yang diketuai oleh Speaker DUN,Abdul Halim Hussain telah dilantik.

Timbalan Speaker, Tan Hock Leong yang juga merupakan ADUN Machang Bubok, Sim Tze Tzin yang juga Adun Pantai Jerejak serta ADUN Batu Uban,V S Raveetharan telah dilantik bagi menganggotai panel siasatan yang ditubuhkan oleh PKR bagi menyiasat dakwaan Amizudin itu.

Kini telah sampai ke kemuncaknya apabila dakwaan Amizudin berjaya membuatkan Fairus melepaskan semua jawatan yang dipegangnya mulai 8 Mac 2008.Walau pun Fairus mendakwa terdapat konspirasi dan tikam belakang daripada dalam beliau kini sudah kehilangan segalanya.

Bermula daripada dakwaan beliau kurang turun padang sepertimana kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu sehinggalah kepada prestasi menurun beliau sebagai Exco Agama maka keretakan dalaman yang berlaku dalam parti sendiri tidak dapat dinafikan.

Apa yang berlaku kepada Fairus adalah umpama apa yang telah berlaku kepada mantan Ketua Angkatan Muda Keadilan,Ezam Mohd Noor semasa bergiat aktif sehinggalah kepada perebutan posisi dalam parti menjadikan beliau sebagai salah seorang yang harus berkorban atau yang terkorban.

Kini insiden tersebut turut didakwa oleh Fairus sebagai tindakan dalaman parti untuk menjatuhkan beliau.

Namun begitu kedudukan Fairus sudah pasti.Pilihan raya kecil DUN Penanti akan menyaksikan bakal calon yang akan memenangi kerusi ini adalah calon favourite yang akan mengisi kekosongan kerusi TKM 1 yang sedang dinantikan.

Timbalan Pengerusi PKR negeri Pulau Pinang, Dr Mansor Othman adalah antara nama yang disebut-sebut akan menjadi calon bagi kerusi DUN Penanti. Sekaligus akan dilantik sebagai TKM 1 yang masih kosong.

Dr. Mansor yang pernah bertanding bagi kerusi Dun Pulau Betong dalam pilihan raya umum ke 12 yang lalu tidak berjaya dan tewas kepada calon Barisan Nasional.Beliau juga dilihat sebagai seorang tokoh yang berkarisme sebagai bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim satu ketika dulu.

Pengerusi PKR negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim (gambar atas) juga didakwa akan dipilih sebagai calon bagi DUN tersebut dan sekaligus dilantik bagi mengisi kekosongan kerusi yang dikosongkan oleh Fairus itu. Beliau yang pernah menjadi Pengerusi Penang Port Sdn Bhd sebelum ini dilihat mempunyai peluang yang sama dengan Dr Mansor bagi mengisi jawatan tersebut.

Namun begitu dakwaan bahawa samada Dr. Mansor atau Datuk Zahrain akan mengisi kekosongan bagi kerusi yang ditinggalkan oleh Fairus itu hanya dapat diketahui apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum PKR membuat perkiraan dan penelitian yang tepat sebelum membuat pengumuman calon yang akan mewakili PKR dalam pilihan raya kecil DUN Penanti yang akan datang.

Tiada ulasan: