Sabtu, 4 April 2009

Saya bukan kuda tungangan sesiapa - Manikumar

Mohd Sabri Said


BUKIT SELAMBAU - "Saya bukan kuda tunggangan PAS seperti yang dilaungkan dalam kempen Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam setiap ceramah parti tersebut sebaliknya berjuang atas nama Pakatan Rakyat untuk kesejahteraan semua kaum dan agama," itulah luahan hati calon N25 Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau, Kedah, Manikumar.

Jelasnya, arahan dan permintaan KeADILan untuknya menjadi calon mewakili Pakatan Rakyat bukan satu keseronokan sebaliknya satu pengorbanan yang tiada nilainya dan jika menang beliau bertekad akan membantu semua kaum tanpa mengira parti mana yang diundi rakyat.

Ujar beliau, lagipun dirinya dilantik oleh KeADILan yang dipersetujui bersama antara PAS dan DAP maka tidak timbul dirinya menjadi tunggangan mana-mana pihak.

Umno dan BN sengaja terangnya, cuba bangkitkan isu ini bagi mengelirukan rakyat yang berminat menyokong Pakatan Rakyat agar jangan berbuat demikian kerana bila menang nanti Manikumar terikat dengan Pakatan Rakyat manakala PAS akan memperkudakan beliau dalam setiap siri penerangan mereka menghentam Umno dan BN, katanya.

"Itulah yang sebenarnya yang ditakuti Umno dan BN maka sebab itu mereka mencipta berbagai isu semata-mata untuk menimbulkan kebencian rakyat," tegasnya selepas perjumpaan dengan penduduk Kampung Air Mendidik, Sungai Petani semalam.

Beliau juga sedar ada kalangan kepimpinan Umno dan BN memfitnah dirinya hanya sebagai 'broker' kereta tanpa mengetahui sejarah sebenar diri dan latarbelakang.

Sebenarnya kata Manikumar, beliau adalah pengusaha syarikat menjual kereta bukan broker seperti yang difitnahkan.

Bukan itu sahaja beliau juga menjadi pensyarah sambilan di Univesiti Utara Malaysia (UUM) dan perunding syarikat bukan seperti pencabarnya dari Parti MIC yang hanya terlibat dengan satu bidang sahaja iaitu peguam semata-mata. - mns_

Tiada ulasan: