Khamis, 23 April 2009

Rosli: Saya tidak pengaruhi MB

Muda Mohd Noor


Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Rosli Mat Hassan menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau banyak mempengaruhi Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dalam membuat keputusan.

Ketua Umno bahagian Dungun itu berkata, beliau hanya terbabit dengan urusan pentadbiran parti selaras dengan jawatan setiausaha Umno negeri.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Ahmad.

"Kalau dalam urusan politik, saya memberi cadangan kepada Ahmad mengenai sesuatu perkara yang ada kaitan de ngan Umno.

"Tugas saya ialah membuat laporan seperti perkembangan parti di bahagian, menyediakan jadual ceramah dan program-program parti," katanya.

Menurutnya, ada yang bercakap beliau yang mempengaruhi Ahmad dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.

"Siapalah saya...saya bukan ada kuasa hendak membuat keputusan," katanya.

Antara yang dibuat oleh kumpulan penentang Ahmad ialah Rosli mempengaruhi menteri besar sehingga tidak melantik ADUN sebagai pengerusi penyelaras DUN.

Mereka juga mendakwa beliau terlibat dalam salahguna kuasa berhubung bekalan pilihanraya kecil Kuala Terengganu awal tahun ini.

'Bukan kerana Idris sahaja'

Sementara itu, Rosli berkata, kejayaan BN menawan semula Terengganu dari PAS dalam pilihanraya umum 2004 bukan hanya kerana Datuk Seri Idris Jusoh seorang.

Katanya, ia adalah kerja bersama para pemimpin Umno ketika itu yang bekerja kuat merampas Terengganu dari PAS.

"Semuanya sama-sama bekerja keras untuk menang, bukan satu orang sahaja," katanya lagi.

Kemelut politik Terengganu tercetus apabila 10 ADUN BN tidak menghadiri sidang DUN negeri atas alasan faktor keselamatan setelah tiga daripada mereka menerima SMS berbaur ugutan.

Bagaimanapun, mereka menghadiri semula pada hari terakhir selepas mendapat arahan dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

ADUN-ADUN berkenaan mahu Ahmad meletakkan jawatan sebagai menteri besar kerana didakwa gagal membawa pembangunan kepada negeri Terengganu.

Tiada ulasan: