Isnin, 13 April 2009

Risalah berunsur negatif tidak gugat PR

SINAR HARIAN


SHAH ALAM – Pengedaran risalah yang memburukkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, tidak akan menggugat kedudukan kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin berkata, beliau mengakui menerima banyak aduan mengenai pengedaran risalah yang memburukkan ahli dalam PR.

Menurutnya, rakyat kini sudah bijak menilai dan perkara sedemikian tidak akan menggugat kerajaan PR.

“Pengedaran risalah seperti itu adalah daripada mereka yang berniat jahat terhadap PR.

“Elizabeth dianiaya dan tidak perlu untuk dia meletakkan jawatan hanya kerana gambar yang disebarkan.

“Saya tidak menafikan bahawa pengedaran risalah itu dilakukan oleh orang UMNO namun kerajaan PR telus dan bertindak berdasarkan prinsip moral yang tinggi, tidak seperti pemimpin UMNO yang menutup kesalahan yang dilakukan ahlinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengedaran risalah anti Elizebeth dan Khalid yang tersebar di seluruh Selangor.

Menurut beliau, Elizabeth diberi cuti panjang untuk menenangkan fikiran dan keputusan mengenai statusnya akan diketahui Rabu ini.

“Kita (PR) sedia terima sekiranya dia memilih untuk meletak jawatan, bahkan bersedia untuk menerimanya jika dia ingin kembali semula,” katanya.

Tiada ulasan: