Selasa, 7 April 2009

Rakyat Jangan Mudah Tertipu Pembebasan 13 tahanan ISA - GMI

MALAYA DAILY


Kenyataan Media Gerakan Mansuhkan ISA

1. Dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah mengumumkan pembebasan serta merta 13 tahanan ISA dan mengkaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Senarai tahanan tersebut ialah seperti berikut:

Bil - Nama Tuduhan Ditahan - pada
1. Wan Amin Wan Hamat Jemaah Islamiyah (JI) 2003
2. Pakana Selama Darul Islam (DI) 2006
3. Mohd Arasad Patangari Darul Islam (DI) 2006
4. Idris Lanama Darul Islam (DI) 2006
5. A Artas A Burhanuddin Darul Islam (DI) 2006
6. Binsali Omar Darul Islam (DI) 2006
7. Mohd Nazri Dollah Darul Islam (DI) 2006
8. Francis Indanan Darul Islam (DI) 2006
9. Amir Hussain Dokumen Palsu 2006
10. Sundaraj Vijay Dokumen Palsu 2006
11. San Khaing Dokumen Palsu 2006
12. R.Kenghadharan Hindraf 2007
13. V.Ganabatirau Hindraf 2007

2. Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menganggap pengumuman tersebut sebagai hanya penyedap kata yang lebih mencerminkan kuasa yang baru diperolehi. Pengumuman ’goodwill’ yang sarat bermotif politik pada ketika menjadi Perdana Menteri. Suatu kelok politik atau political manoeuvre yang diatur detiknya dengan teliti menjelang tiga Pilihanraya Kecil yang dianggap kritikal bagi meningkatkan pengaruh rakyat kepada PM baru dan BN.

3. GMI menggesa rakyat untuk jangan mudah tertipu dengan pendekatan politik ini. Dengan pengumuman ini, ternyata kuasa wewenangan atau arbitrari di bawah ISA bukan sahaja menahan dan menghukum tanpa bicara tetapi juga membebaskan pada masa yang dianggap akan berpihak kepada pemerintah. Selagi ISA wujud, kuasa tersebut terus kekal wujud.

4. Tindakan ‘goodwill’ yang serupa pernah dilakukan ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu. Tapi apakah yang berlaku selepas itu? ISA terus kekal dan diketatkan, malah makin ramai yang ditahan pada tahun 1987 dalam Operasi Lalang.

5. Apakah maknanya ‘goodwill’ sedangkan hakikatnya, terdapat seramai 40 orang kesemuanya yang masih ditahan ISA sebelum ini. Di antara 40 orang tersebut, terdapat beberapa orang yang sudah ditahan selama 7 tahun sedangkan nama mereka tidak tersenarai di antara mereka yang dibebaskan. Mengapa? Di samping itu, ada juga yang ditahan atas tuduhan yang sama dengan yang dibebaskan namun tidak termasuk pula dalam senarai 13. Mengapa?

6. Syor untuk mengkaji semula ISA pernah disuarakan oleh beberapa orang Menteri dan parti komponen BN sebelum ini. Malah ada yang meletakkan jawatan kerana membantah. Namun ianya indah khabar dari rupa. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mencadangkan ISA dimansuhkan sejak tahun 2003 tetapi tidak pernah diteliti oleh kerajaan atau dibentangkan di Parlimen. Kini pengumuman untuk mengkaji semula ISA keluar dari mulut seorang PM. Apakah janji bakal dikota atau janji tinggal janji seorang PM baru?

7. Tuntutan untuk semua tahanan dibebaskan atau dibicarakan telah dibuat GMI sejak bertahun-tahun lamanya. Begitu juga tuntutan supaya ISA dimansuhkan bukan sahaja dikajisemula.

8. Bagi GMI, 13 orang yang dibebaskan merupakan berita baik untuk tahanan berkenaan dan keluarga mereka tetapi kita harus sedar pembebasan mereka kini dijadikan bahan dagangan atau jaminan politik (political collateral) untuk menonjolkan seorang PM yang prihatin.

9. Tindakan yang paling ikhlas dan jujur berpandukan prinsip keadilan ialah dengan membebaskan semua tahanan, bukan sebahagian sahaja. Tindakan yang paling berani ialah meletakkan keadilan pada tempatnya. ISA membenarkan penahanan tanpa bicara dan kuasa yang terlalu luas. Ia bukan sahaja disalahgunakan tetapi ia undang-undang salah yang disalahgunakan! ISA mesti dimansuhkan dan mangsanya mesti dibebaskan atau dibicarakan.

10. Tindakan yang lebih utama oleh Datuk Seri Najib ialah menjelaskan kesangsian rakyat terhadap kewibawaan dan kredibiliti beliau dalam isu cubaan rasuah politik di Perak, isu urusan pembelian kapal selam dan isu pembunuhan Altantuya.

Mansuhkan ISA!
Bebaskan Tahanan!
Tutup Kemta!

Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi
Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)

Tiada ulasan: