Jumaat, 3 April 2009

PKR sasaran Mahathir selepas PAS

MALAYSIA KINI


Tun Dr Mahathir Mohamad akan melancarkan serangan terakhir terhadap PKR dalam ceramahnya di DUN Bukit Selambau pada Isnin ini untuk membantu calon BN Datuk S Ganesan.

Mantan perdana menteri dijadual menghadiri satu perhimpunan di padang Institut Kemahiran Mara di Sungai Petani pada 5.30 petang, kira-kira 15 jam sebelum pemilih membuang undi, Selasa ini.

PKR diwakili calon muka barunya S Manikumar.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bekas presiden Umno itu dijangka berkempen di parlimen Bukit Gantang bagi menentang calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sehari sebelumnya.

Mantan menteri besar Perak itu berdepan calon BN Ismail Saffian dan Khairul Ramizu Idris (bebas).

Anggota parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kehadiran bapanya diduga dapat menarik semula sokongan pemilih terutamanya pengundi atas pagar untuk menyokong semula BN.

"Tun (Dr Mahathir) akan bertemu dengan orang ramai dan memberi fokus kepada pengundi atas pagar untuk meminta mereka menyokong BN," katanya, lapor Bernama.

Ditemui media selepas melawat pusat mengundi Tasek Apong, Mukhriz berkata, Dr Mahathir juga akan mengumumkan penyertaannya semula dalam Umno dan diikuti dengan para penyokongnya termasuk seorang lagi anak beliau Mokhzani yang memohon untuk menyertai semula Umno Merbok.

Mengulas penyokong Dr Mahathir, Mej (B) Anuar Abdul Hamid yangbertanding atas tiket bebas pada pilihan raya kecil DUN itu dan bercadang untuk menyertai semula Umno selepas penyertaan bekas presiden tersebut, Mukhriz berkata:

"Kita tetap berkempen untuk menyokong calon BN dan telah membuat ketetapan bahawa kerusi itu diberikan kepada MIC."

Anuar, bekas anggota jawatankuasa bahagian Merbok, baru-baru berkata beliau akan menyertai semula Umno jika Dr Mahathir berbuat demikian walaupun jika terpilih sebagai ADUN.

Tiada ulasan: