Khamis, 16 April 2009

Pindaan ISA janji kosong KDN : Kamaruddin Jaafar

Anna Yusof


KUALA LUMPUR : Setiausaha Agong Pas Kamaruddin Jaafar membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri yang baharu Hishammuddin Hussein yang membuat kenyataan bahawa sebarang pindaan terhadap undang-undang di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dipastikan tidak menjejaskan hak asasi individu dan majoriti rakyat.

Kamaruddin berkara beliau tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Hishammudin kerana selama ini Paktan Rakyat mahukan ISA di mangsuhkan terus untuk memastikan tidak menjejaskan hak asasi individu dan majoriti rakyat.

“Beliau amat keliru dan tidak faham apa yang beliau cakapkan dan membuat kenyataan tanpa membuat perkiraan semua pihak. Pakatan Rakyat telah lama mahukan kementerian memangsuhkan terus ISA bukan hanya membuat pindaan undang-undang,” jelas beliau kepada Suara Keadilan.

Hishamuddin juga berkata kedua-dua faktor itu akan diimbangi dengan sewajarnya sebelum sesuatu perubahan atau pindaan dibuat.

“Orang selalu bercakap mengenai hak asasi individu sahaja tetapi dalam apa jua perubahan hak asasi majoriti juga penting.

“Itu prinsip yang akan saya pegang tanpa rasa takut dan pilih kasih,” kata Hishamuddin kepada pemberita semalam.

Hishammuddin berkata sebaik menerajui kementerian berkenaan beliau bukan hanya akan meneliti akta ISA sahaja tetapi 40 undang-undang lain yang berada di bawah bidang kuasa kementerian itu.

“Beliau selama ini hanya pandai membuat janji tetapi beliau takut untuk membuat sebarang keputusan, seperti juga di Kementerian Pelajaran dulu, beliau takut untuk membuat sebarang keputusan kemelut mangsuhkan PPSMI dan kini berjanji dalam perkara lebih berat iaitu menyentuh isu hak asasi kemanusiaan pula,” kata Kamaruddin lagi

Sementara itu, Kamaruddin juga menjawab kenyataan Hishamuddin berhubung isu bahawa akan adanya rusuhan dan demonstrasi ala-Pattaya dengan berkata, kenyataan beliau bukan bersifat menghasut karana rakyat sudah matang dan mempunyai pemikiran tersendiri.

Ekoran berita yang di petik dari akhbar arus perdana hari ini bahawa Hishammuddin meminta pucuk pimpinan Pas dan parti politik lain agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh dianggap berbaur hasutan dan provokasi.

Hishammuddin mengulas laporan lidah rasmi Pas, Harakah Daily Ahad lepas yang menyiarkan kenyataan bahawa tidak mustahil rakyat Perak akan melakukan perkara sama seperti di Thailand, jika Dewan Undangan Negeri (Dun) tidak dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Kamaruddin berkata, “Ketika Perdana Menteri Najib Razak membuat ucapan semasa dilantik menjadi Perdana Menteri yang baharu, beliau ada berkata kerajaan tidak tahu semua perkara dan bersedia menerima sebarang teguran.”

“Maka saya menegur mereka bahawa ini bukan ugutan cuma nasihat supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak harus dibubarkan jika tidak mahu lihat rakyat Perak merusuh dan berdemonstrasi seperti Ala-Pattaya,” jelas kamaruddin lagi.

Tiada ulasan: