Sabtu, 4 April 2009

Permononan kes Nizar diterima: Satu tempelak besar pada Najib

Zainal Abidin Nor


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat Mohammad Nizar Jamaluddin yang berjaya dalam permohonan beliau bagi memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 April ini adalah sebagai satu tempelak besar kepada Perdana Menteri Najib Razak

Semalam, Hakim Abdul Aziz Abd Rahim, memutuskan bahawa permohonan semakan kehakiman oleh Nizar bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah mempunyai merit selepas mendengar hujah dari kedua-dua belah pihak.

“Permohonan untuk semakan kehakiman yang dibuat oleh Nizar ini bukanlah remeh, menyusahkan atau penyalahgunaan proses mahkamah.” kata Abdul Azizi.

Nizar diwakili oleh Sulaiman Abdullah manakala Zambry Abdul Kadir diwakili oleh peguam kanan persekutuan Kamaluddin Md Said yang mewakili pihak Pejabat Peguam Negara.

Abdul Azizi bersetuju dengan hujah Sulaiman bahawa pihak Peguam Negara tidak berhujah dengan fakta yang kukuh dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak tidak dibubar untuk melantik menteri besar yang baru.

Beliau menjelaskan. “keputusan Nizar untuk memohon perintah bertulis “quo warranto” merupakan salah satu jalan penyelesaian bagi menentukan keabsahan perlantikan Zambry memandangkan Dun tidak dibubar dan Nizar tidak meletakkan jawatan.

“Keputusan Sultan Perak (Sultan Azlan Shah) tidak memberi perkenan untuk membubar Dun adalah dikesali dan responden (Zambry) dilantik sebagai menteri besar yang baru,” tambah beliau.

Berhubung dengan hal ini, Sulaiman berkata, “kami atau Nizar tidak pernah mempersoalkan bidang kuasa atau kedaulatan sultan, kami hanya mempersoalkan kedudukan Zambry sebagai menteri besar.

“Pelanggan (Nizar) kami telah memberi arahan khusus agar tidak memberi gambaran bahawa beliau mencabar kedaulatan dan bidang kuasa sultan,” jelas beliau.

Ketika mengalu-alukan keputusan tersebut, Sulaiman melahirkan rasa terperanjat kenapa terdapat terlalu banyak bantahan dari kamar Peguam Negara mengenai isu permohonan bagi mendengar semakan kehakiman ini.

“Tindakan pejabat Peguam Negara dilihat seolah-olah menutup mata sepenuhnya terhadap isu-isu penting, mengelak dari hujahan tertentu dan sebaliknya menggunakan hujah seperti Sultan Perak tidak boleh diadili.

Apabila ditanya apakah keputusan ini bermakna Nizar tidak “derhaka” kepada Sultan Perak seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak, Sulaiman berkata,

“Maksud “derhaka” bermakna seseorang itu melanggar bidang kuasa dan kedaulatan sultan. Pelanggan kami tetap konsisten dengan pendiriannya bahawa beliau tidak pernah mencabar bidang kuasa, budi bicara dan keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak,” ujar beliau.

Beliau melahirkan rasa sukacita dan optimistik kerana perbicaraan kes yang panjang ini telah mula menunjukkan tanda-tanda cahaya kebenaran akan bersinar (some light at the end of the tunnel)”.

Pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman, yang di antara lain, menuntut pengisytiharan bahawa beliau adalah menteri besar yang sah.

Beliau juga menuntut pengisytiharan bahawa Zambry tidak berhak memegang jawatan menteri besar termasuk injuksi menghalang Zambry atau ejen-ejennya dari meneruskan tugas dan berperanan sebagai menteri besar.

Nizar dalam permohonannya juga mahu mahkamah tersebut membuat penafsiran Artikel 16 (6) perlembagaan negeri sama ada jawatan menteri besar boleh dikosongkan apabila Menteri besar telah menasihati sultan tentang pembubaran Dun, tidak ada pembubaran Dun, tidak ada undi tidak percaya terhadap menteri besar dalam Dun dan menteri besar tidak meletakkan jawatan.

Tiada ulasan: