Rabu, 22 April 2009

Perak lelong 16 Camry

Oleh Oleh Ridzuan Yop


IPOH: Kerajaan Perak akan melelong semua 16 Toyota Camry 2.4 yang sebelum ini digunakan sebagai kenderaan rasmi Exco pakatan pembangkang ketika menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut kenyataan tender terbuka yang dihantar ke bahagian iklan akhbar berbahasa Melayu di sini semalam, lelongan kereta itu akan berlangsung di tempat letak kereta Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini mulai 9.30 pagi hingga 4 petang pada 4 hingga 18 Mei ini.

Kenyataan tender yang dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri itu menyatakan kenderaan berkenaan boleh dibeli secara pukal atau seunit dengan harga rizab RM148,000 sebuah.

Kereta yang menggunakan nombor pendaftaran AGS10, AFD11, AFD22, AFD33, AFD55, AFD66, AFD77, AFD88, AFD99, AFD333, AFD999, AFF33, AFF88, AFF99, AGS828 dan AEU606 itu semuanya didaftarkan pada 9 Januari lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, ketika dihubungi mengesahkan kereta bernombor pendaftaran AGS10 yang ketika ini digunakan secara tidak sah oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin juga akan dilelong.

Semua kenderaan itu baru digunakan antara satu hingga dua bulan dan masih dalam tempoh jaminan tiga tahun oleh syarikat pengeluar.

Kenderaan berkenaan juga mempunyai nombor pendaftaran orang kenamaan, cermin gelap bernilai RM2,000, perbatuan rendah serta bebas daripada sebarang kemalangan.

Dokumen tender boleh didapati pada waktu pejabat mulai 4 Mei hingga 18 Mei ini di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Bahagian Pengurusan, Aras 3, Bangunan Perak Darul Ridzuan dengan harga RM20 senaskah.

Mereka yang ingin membeli kenderaan berkenaan perlu menghantar kembali surat tawaran tender itu sebelum jam 12 tengah hari, 18 Mei ini.

Tiada ulasan: