Selasa, 7 April 2009

Pengundian pilihan raya kecil selesai keputusan antara 9-11 malam

Oleh G.MANIMARAN dan ZANARIAH ABD MUTALIB


TAIPING: Proses pengundian tiga pilihan raya kecil serentak selama sembilan jam ditutup pukul 5 petang tadi.

Kerja-kerja mengira undi dijangka bermula dalam waktu terdekat.

Secara kasar, difahamkan antara 68 hingga 78 peratus pemilih keluar mengundi di ketiga-tiga kawasan Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

Seperti dua pilihan raya kecil sejak Mac 2008, bahagian Parlimen Bukit Gantang dan Bukit Selambau berhadapan dengan kesesakan teruk.

Beberapa insiden tidak diingini turut direkodkan di kawasan Bukit Gantang pagi tadi di mana pasukan keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan 'pertembungan' penyokong parti bertanding di kawasan pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Aur, Air Kuning. Malah mStar Online difahamkan wujud pergeseran antara penyokong BN dan PAS di kawasan pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Simpang.

BERITA TERDAHULU

Hampir 70 peratus sudah undi, Bukit Selambau masih rendah

TAIPING: Proses pengundian ketiga-tiga pilihan raya kecil hari ini - ditutup 5 petang dengan kira-kira 70 peratus keluar setakat 4 petang. Bahagian DUN Batang Ai mencapai 73 peratus -paling tinggi berbanding dua kawasan yang lain.

Di Bukit Gantang peratusan yang direkodkan adalah 63 peratus manakala Bukit Selambau pula 61 peratus.

Angka itu diperoleh sehingga 3 hingga 4 petang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, kehadiran terus meningkat.

Tiada ulasan: