Khamis, 16 April 2009

Pengisi jawatan TKM1 masih jadi teka teki

Mohd Sabri Said


GEORGETOWN - Jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 yang dikosongkan berikutan perletakan penyandangnya, Mohamad Fairus Khairudin masih menjadi teka teki sampai kini apabila Ketua Menteri, Lim Guan Eng tidak mengumumkan nama penganti seperti yang diperkatakan akan diadakan pada hari ini.

Sebaliknya beliau dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Sekolah Tamil seluruh Pulau Pinang di Audiotorium F, Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) pagi tadi mengarahkan setiausaha akhbarnya membahagikan kenyataan akhbar dan memohon maaf kepada semua media kerana beliau terpaksa bergegas ke Lapangan Terbang Bayan Lepas menuju ke Istana Negara bertemu Yang di-Pertuan Agong.

Kenyatan satu muka surat itu menegaskan ia menyerahkan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat Malaysia (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan nama sebagai cadangan mengantikan kerusi nombor dua itu.

Namun sampai kini, Anwar belum memutuskan dalam mesyuaratnya bersama KeADILan pada hari Ahad lepas.

Ada dua nama sahaja yang boleh memegang jawatan tersebut iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Bakap, Maktar Shepee dan Adun Batu Maung, Haji Malik Kasim memandangkan peruntukan itu dikhaskan kepada KeADILan.

Namun begitu, Lim berharap semuanya akan selesai dengan segera setelah masa diberikan kepada Dato' Seri Anwar memikirkan keadaan itu.

Sementara itu, Haji Malik Abul Kasim yang dijangka mengisi kekosongan tersebut tidak kecil hati atau kecewa ekoran belum ada pengisian sebaliknya berasa lega kerana dapat menumpukan pada jawatan exco yang disandangnya.

Beliau menafikan akan dilantik ke jawatan berkenaan dan perbincangan dua mata dengan Dato' Seri Anwar baru-baru ini.

"Buat apa saya nak kecewa malahan saya bertambah yakin dan lega boleh menumpukan jawatan exco yang diamanahkan sejak Kerajaan Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya Umum ke-12 lalu.

"Semua itu biarlah Dato' Seri Anwar selesaikan dengan penuh hemah dan berilah beliau masa untuk memikirkan siapa penganti Fairus," jelasnya. - mns _

Tiada ulasan: