Isnin, 13 April 2009

Pemandu, pembantu bas ekspres ragut 6 nyawa ada 14 saman

BERNAMA


RAWANG: Pemandu dan pembantu pemandu sebuah bas ekspres dua tingkat yang terbalik di KM 443 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini awal pagi ini masing-masing mempunyai lapan dan enam saman.

Ketua Polis Trafik Persekutuan, Senior Asisten Komisioner II Datuk Abd. Aziz Yusof berkata, siasatan awal menunjukkan pemandu bas AB Express telah dikeluarkan lapan saman kerana memandu laju.

Pembantu pemandu bas tersebut, Zulkhibri Md. Saad pula mempunyai enam saman dan lima waran tangkap atas kesalahan yang sama.

"Kami sedang menyiasat kes ini sebagai memandu dengan cuai sehingga membawa kepada kematian, di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan," kata beliau.

Beliau mengesahkan kemalangan hari ini sebagai yang terburuk tahun ini.

Zulkhibri merupakan antara mereka yang terbunuh dalam kejadian itu.

Lima penumpang dan pemandu sebuah bas ekspres terbunuh manakala dua orang cedera parah setelah bas itu terbabas lalu melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di KM 443 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini pagi ini.

RAWANG: Lima penumpang dan pemandu sebuah bas ekspres terbunuh manakala dua orang cedera parah setelah bas itu terbabas lalu melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di KM 443 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini pagi ini.

Polis berkata, kejadian berlaku pada 5.30 pagi setelah bas ekspres dua tingkat milik AB Ekspres itu membawa 34 penumpang dari Changlun, Kedah, gagal dikawal.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Muhamad Ismail, 27, dari Kampung Lubuk Batu, Jitra; Mohamad Fauzi Awang, 57, Kampung Siam, Alor Setar; Md Jaheer Mohamad, 33, Kodiang; Mohd Yusril Zakaria, 27, Kuala Muda, Kedah; C. Magentharan, 26, dari Klang, dan pemandu bas, Zulkhibri Md Saad, 35, dari Kubang Ulu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Kesemua mayat dan penumpang yang tercedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

Tiada ulasan: