Ahad, 5 April 2009

Pelantikan Najib, bukti Umno pinggirkan rakan komponen BN

Izwan Abdul Halim


SUNGAI LALANG - Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua menyifatkan tindakan keluar parti oleh Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Dato' V.Nadarajan bersama 6,000 ahli parti itu di Kedah dan menyertai KeADILan sebagai arus yang tidak boleh dielakkan.

Menurutnya, telah wujud kontra yang besar sejak sekian lama di mana Barisan Nasional (BN) tidak tidak dapat memberi layanan sama rata dan positif kepada sesama teman-teman komponen mereka.

Perkara tersebut juga katanya tidak dapat diselesaikan dengan pelantikan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Malah ujar Tian Chua, pelantikan Najib melanggar semangat di dalam BN sehingga rakan-rakan komponen mereka semakin ramai meninggalkan BN.

"Sebagai contoh Najib telah disahkan sebagai Presiden Umno pada persidangan Umno baru-baru ini. Umno bukan parti yang tunggal memerintah di negara ini, mereka berkongsi kuasa dengan 13 parti.

"Sepatutnya sebelum Najib dikemukakan kepada Yang Di-Pertuan Agong bagi pelantikannya, Majlis Tertinggi BN sepatutnya bersidang untuk 'confirm' cadangan dari Umno melantik Najib sebagai PM," ujarnya pada sidang media di Yayasan Aman, di sini hari ini.

Jelasnya, perkara tersebut dilakukan pada pelantikan semua PM sebelum ini tetapi tidak dibuat semasa melantik Najib.

Katanya lagi, Umno juga tidak menguasai majoriti dalam Parlimen tetapi Umno bertindak seolah-olah telah mengenepikan rakan komponennya yang lain termasuk parti-parti kecil dalam komponen itu.

"Umno membuat satu anggapan atau asumsi bahawa Presiden Umno ini secara automatik menjadi Perdana Menteri. Sungguhpun secara tektikal begitu, tetapi sekurang-kurangnya dalam muafakat satu barisan, ianya harus dibincangkan.

"Ia kontra dengan Pakatan Rakyat di mana konsultasi dan perundingan merupakan satu proses yang sangat penting," ujarnya yang turut menyatakan bahawa BN sering melemparkan tohmahan kononnya Pakatan Rakyat tidak sepakat dan cuba melaga-lagakan antara PAS, KeADILan dan DAP.

Ujarnya juga, BN tidak memahami konsep perundingan secara ikhlas yang diamalkan Pakatan Rakyat dan menyifatkan perlantikan Najib sebagai kembali ke era Mahathirisme.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar melahirkan rasa bangganya kerana Najib sebagai PM telah memilih untuk melawat kawasan Parlimen diwakilinya berbanding kawasan parlimen lain yang turut diwakili KeADILan.

Bagaimanapun beliau mengingatkan Najib agar tidak menggunakan lawatan itu sebagai gimik politik sebaliknya melaksanakanlah janji dan memastikan golongan miskin bandar terutamanya sekitar Kerinchi turut diperjuangkan BN walaupun Parlimen Lembah Pantai diwakili oleh KeADILan.

Katanya juga, Najib belum dapat memastikan perubahan benar-benar berlaku di bawah pemerintahannya. - mks. _

Tiada ulasan: