Sabtu, 18 April 2009

Pas, UMNO tidak mungkin bersatu

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM- Dua parti utama Melayu, UMNO dan Pas tidak mungkin bersatu seperti yang diharapkan sesetengah pihak yang melihat kepentingan orang Melayu semakin terancam dengan suasana politik semasa.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Pas menolak sebarang cadangan untuk bersatu dengan UMNO kerana apa yang diperjuangkan parti tersebut berbeza dengan dasar perjuangan Pas.

Namun menurutnya, Pas tidak menolak jika diajak berbincang dengan UMNO dalam mencari jalan bersama untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Pas dari dulu menolak untuk bergabung atau bersatu dengan UMNO. Perjuangan kedua-dua parti berbeza. Tetapi jika diajak untuk berbincang mengenai masalah rakyat, kami (Pas) tidak menolak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Siti Mariah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Majlis Muafakat Melayu (MMM) dan Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM) yang mendesak bahawa Pas dan UMNO perlu bersatu bagi bagi mempertahankan kepentingan orang Melayu.

MMM dan PPPMM turut berpendapat bahawa kedua-dua parti tersebut kini tidak boleh meletakkan kepentingan politik semata-mata sebagai keutamaan sebaliknya perlu berbalik kepada kepentingan Melayu dan Islam.

Menurut Siti Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, perkara tersebut dibangkitkan kerana UMNO sendiri merasakan bahawa kedudukan mereka kini tergugat dan menjadikan isu bangsa dan agama untuk menarik perhatian masyarakat.

“Saya tak nampak kedudukan Melayu dan Islam tergugat sebaliknya yang tergugat adalah UMNO kerana merosotnya sokongan daripada bangsa Melayu sendiri serta daripada bangsa lain terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata, UMNO hanya memperjuangkan bangsa Melayu yang berkepentingan sahaja sedangkan golongan bawahan dan pertengahan diabaikan.

“Memang mereka perjuangkan Melayu, tapi untuk golongan yang tertentu sahaja. Bagaimana pula dengan dengan golongan sederhana seperti peniaga kecil dan sebagainya?,” katanya.

Menurutnya, perjuangan UMNO yang hanya mempertahankan hak orang Melayu adalah perjuangan sempit sebaliknya perjuangan Islam lebih relevan.

“Kalau perjuangkan Melayu, belum tentu semua rakyat di negara ini diberi layanan sama rata. Tetapi kalau perjuangkan Islam semua akan terbela,” katanya.

Tiada ulasan: