Selasa, 14 April 2009

PAS sokong pelantikan Manikumar sebagai Exco Kedah

Mohd Nor Yahya


KETEREH - Perlantikan Adun Bukit Selambau S. Manikumar dari PKR sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Kedah amat bertepatan dengan janji yang dibawa kepada pengundi di Bukit Selambau dalam pilihan raya kecil baru-baru ini, demikian dinyatakan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Pohon Sena, Dato' Mahfuz Omar ketika ditemui di majlis ceramah isu semasa di Kawasan Perumahan Kadok dalam Parlimen Ketereh.

Mahfuz juga berkata, sokongan kaum India di Bukit Selambau terhadap kepimpinan yang diterajui oleh PAS di Kedah seharusnya dihargai dan kerajaan tidak akan meminggirkan kaum India, Cina dan Siam yang ada di Kedah dalam segala aspek.

Beliau juga mengalu-alukan kehadiran Manikumar sebagai Exco Kedah dan menunjukkan Menteri Besar Kedah menunaikan janji kepada kaum India bahawa Adun Bukit Selambau itu akan dilantik sebagai exco dan memberi khidmat terbaik kepada negeri.

"Saya berkeyakinan dengan kebolehan dan kewibawaan beliau, beliau akan mampu menunaikan tanggungjawab dalam membantu Menteri Besar dan Exco lain dalam membangunkan Kedah demi kepentingan umum," ujarnya.

Menyentuh tentang penglibatan Manikumar dalam politik masih baru, Mahfuz berkata, wakil rakyat lain pun baru juga dan yang menjadi exco itu pun baru setahun dan ini tidak timbul soal baru dalam politik tetapi pengalaman beliau sebagai aktivis parti dapat membantu memajukan kaum india di Kedah.

"Yang penting sekarang ialah Umno/BN mesti menghentikan provokasi untuk mengambil alih kerajaan di bawah Pakatan Rakyat melalui rampasan kuasa, biarkan kerajaan ini mentadbir sehingga pilihan raya umum akan datang dan selepas itu kita bagi pada rakyat untuk membuat pilihan," kata beliau lagi.

Mahfuz juga berharap masyarakat India di Kedah dapat memberi kerjasama kepada Adun Bukit Selambau yang baru untuk berkhidmat dan menyelesaikan masalah sebaik mungkin tanpa menaruh sifat dendam dan iri hati kepada beliau.

S. Manikumar, 35, mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Anak Bukit di Alor Star Pagi semalam. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Siam, India, Pekerja Ladang serta Perpaduan.

Manikumar mengisi tempat yang dikosongkan bekas Exco, V Arumugam yang mewakili PKR. Menteri Besar Dato' Seri Azizan Abdul Razak, Speaker Dato' Dr Abdul Isa Ismail serta semua sembilan anggota exco dan pegawai kanan kerajaan negeri turut menyaksi acara angkat sumpah itu. - mns_

Tiada ulasan: