Khamis, 16 April 2009

Notis sidang DUN Perak dikeluarkan esok atau minggu depan

MALAYSIA KINI


Menteri Besar BN Perak, Datuk Zambry Abdul Kadir tidak menolak kemungkinan notis untuk memanggil sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan dibuka Sultan Perak Sultan Azlan Shah, akan dikeluarkan esok ataupun awal minggu depan.

Persidangan DUN kali ini perlu diadakan sebelum 13 Mei ini dan Speaker boleh memohon perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN sekiranya persidangan tidak dilangsungkan menjelang tarikh berkenaan.

Zambry diminta mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa perintah penggantungan itu selama 18 bulan ke atas beliau dan 12 bulan ke atas enam anggota exco kerajan negeri oleh Speaker negeri V Sivakumar, adalah melampaui perlembagaan negeri, oleh itu tidak sah dan batal, lapor Bernama.

Sehubungan itu, Zambri meminta pihak pembangkang di Perak dan penyokong mereka menerima dengan baik dan hati terbuka keputusan mahkamah hari ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel lima anggota diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff.

Bercakap kepada pemberita di Lumut, Zambry berkata keputusan mahkamah itu membolehkan beliau dan kesemua anggota exco berkenaan menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih dedikasi untuk rakyat dan negeri Perak.

Zambry bagaimanapun masih berteka-teki ketika ditanya mengenai tarikh persidangan DUN Perak yang akan datang.

Beliau setakat menyatakan bahawa persidangan itu akan diadakan dalam tempoh enam bulan selepas persidangan DUN lepas pada November lalu.

Tiada ulasan: