Jumaat, 10 April 2009

Melayu Singapura kian sukar beli flet

Agensi


SINGAPURA: Semakin ramai pelanggan Melayu dan Islam Singapura menghadapi masalah membeli rumah pangsa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sejak beberapa bulan lalu dan antara puncanya ialah pinjaman untuk membeli rumah pangsa baru tidak diluluskan bank.

Ia berpunca daripada kedudukan kewangan yang semakin lemah berikutan ramai hilang pekerjaan, menyusuli kegawatan ekonomi sekarang, dedah ejen hartanah kepada majalah Ekoniaga.

Ejen hartanah itu memberitahu, kes bukan saja membabitkan rumah pangsa baru tetapi juga yang dijual semula di pasaran terbuka.

Malah, sesetengah yang sudah menjual rumah pangsa mendapati mereka bukan saja tidak mampu membeli rumah pangsa baru, malah tidak layak menyewanya secara langsung daripada HDB pada kadar lebih murah. Sebaliknya, mereka terpaksa menyewa rumah pangsa di pasaran dengan harga lebih mahal.

Mendedahkan masalah itu, Pengarah Kanan Kumpulan PropNex Realty Pte Ltd, Sazali Sarwan, berkata pada mulanya, permohonan pinjaman perumahan pelanggannya diluluskan oleh HDB.

Namun, pelanggannya itu kemudian diberhentikan kerja oleh syarikatnya dan menjejas sumbangannya kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) lalu menyebabkan permohonan pinjaman yang diluluskan itu, ditarik balik.

“Pembeli seperti itu digesa supaya mencari pekerjaan baru terlebih dulu dan mengemukakan surat gaji tiga bulan sebelum boleh memohon pinjaman perumahan yang baru,” katanya.

HDB atau pihak bank memerlukan sekurang-kurangnya sumbangan CPF tiga bulan bagi permohonan pinjaman perumahan, tambahnya.

“Daripada lima panggilan yang saya terima, sekurang-kurang dua daripada pembeli ada masalah kedudukan kewangan,” katanya.

Katanya, ada juga pelanggan Melayu yang ingin menjual rumah pangsa mereka dengan harapan apabila mendapat keuntungan hasil jualan itu kelak, mereka dapat melunaskan baki pinjaman yang kini ditanggung mereka.

Tiada ulasan: