Sabtu, 11 April 2009

Malaysia-Brunei bincang isu sempadan

UTUSAN ONLINE


PATTAYA - Malaysia akan menunggu perbincangan kumpulan kerja Malaysia-Brunei mengenai isu sempadan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Isu sempadan termasuk kedudukan Limbang, menurutnya, masih di peringkat awal dengan kumpulan kerja kini sedang berbincang mengenainya.

Najib yang mengadakan pertemuan bilateral dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah malam ini berkata, Brunei berharap hubungan kedua-dua negara bertambah baik.

''Tuanku ingin melihat kedua-dua negara berusaha ke arah memperkukuhkan hubungan melalui perlbagai bidang antaranya kerjasama pelancongan kesihatan, pendidikan dan tenaga.

''Perkara ini akan dibincang selanjutnya. Tuanku juga menjemput saya buat lawatan pertama ke Brunei sebagai Perdana Menteri," katanya kepada wartawan Malaysia selepas pertemuan bilateral dengan Sultan Brunei pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-14 dan sidang kemuncak berkaitan di sini hari ini.

Mengenai sidang kemuncak kali ini yang pertama dihadirinya sebagai Perdana Menteri, Najib berkata, beliau diterima baik oleh ketua-ketua kerajaan yang hadir pada majlis makan malam tidak rasmi.

''Saya rasa bertuah Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) telah memberi peluang kepada saya menghadiri forum besar termasuk APEC (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik) yang baru lalu dengan banyak pemimpin dunia hadir.

''Malam ini bila saya katakan saya pemimpin baru, mereka nyatakan telah lama mengenali saya. Saya rasa selesa saya dikenali," katanya sambil menambah fokus utama dalam sidang kemuncak kali ini ialah bagaimana cara mengatasi krisis kewangan dunia.

Najib juga menyatakan komitmennya untuk meneruskan tradisi ASEAN dengan para pemimpin baru melakukan kunjungan hormat ke negara-negara anggota.

Katanya, ia akan dilakukan selepas isu-isu utama dalam negara termasuk komitmen anggota Kabinet serta penstrukturan parti dan kerajaan berjalan lancar.

Terdahulu Najib tiba di sini petang ini untuk mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak tersebut di tengah-tengah ketegangan politik Thailand dengan ribuan penunjuk perasaan berhimpun di depan tempat persidangan dan penginapan ketua-ketua kerajaan.

Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang baru, Datuk Mustapa Mohamed tiba di Lapangan Terbang U-Tapao kira-kira pukul 4 petang. Menteri Luar, Datuk Anifah Aman tiba malam ini.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Najib ke luar negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu.

Perdana Menteri akan menyertai rakan sejawatannya daripada sembilan negara ASEAN yang lain dan enam rakan dialog kecuali India yang diwakili oleh Menteri Perdagangan.

1 ulasan:

Ross Safina Hor berkata...

FIGHT THE INFLUENZ A(H1N1) FLU WITH PROTECUR-100?

H1N1 is a global problem and it doesn't appear to be stopping. With WHO declaring LEVEL 6 which is PANDEMIC level for H1N1, now is the time to pay extra attention to your health. You really need a strong immune system so that you can reduce your risk of contacting H1N1.

www.PROTECUR.com