Sabtu, 11 April 2009

Laman Web Muslimat Serdang dilancarkan

Muhammad Arif Ismail


BANGI - Keperluan semasa yang memerlukan strategi penyebaran dakwah melalui internet sangat penting. Atas dasar inilah satu laman web Dewan Muslimat Pas Kawasan Serdang (DMPKS) bertujuan memberi penerangan mengenai perjuangan Islam.

Menurut Ketuanya, Zuryati Yasin, pendekatan ini adalah dimanifestasikan oleh Harakah Muqawamah Islamiyah (Hamas) yang bukan sahaja melaksanakan jihad bersenjata yang berpunca dari kekejaman yahudi malah menggunakan jihad melalui media terutamanya internet.

"Hamas telah membangunkan sebuah laman web untuk kanak-kanak yang dikenali sebagai 'al-Fateh' dengan isi kandungan kesukaan kanak-kanak.

"Ia dibangunkan untuk melahirkan lebih ramai generasi pejuang dan penyumbang perjuangan Palestin," katanya dalam Ucapan Dasar Mesyuarat Tahunan DMPKS ke 19 yang diadakan di Kompleks PKNS, dekat sini padi tadi.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nasir Zakaria yang juga merupakan exco Pemuda Pas Negeri Kedah yang turut dihadiri oleh wakil Pas Serdang, Nik Pa Nik Leh; Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Mazuwan Johar dan Ustaz Shafie Ngah.

Penerangan melalui media massa katanya, yang menjadi saluran penyebar isu dan fikrah perlu diperkemaskan, dipertingkatkan dan diperluaskan setiap masa.

"Pelancaran laman web ini yang dikendalikan oleh Lajnah Penerangan DMPKS sangat dinanti-nantikan dan diharapkan dapat menjadi sebagai alat sebaran maklumat jemaah.

"Oleh itu, semua pihak bertanggungjawab yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar menyediakan isi kandungan menarik, kreatif dan bersesuaian dengan semua golongan," katanya.

Tambah beliau, Allah mengajar kita supaya menyampaikan risalah dakwah dengan bijaksana, metod yang menarik supaya mesej Islam dapat difahami oleh golongan bukan Islam.

Menurut beliau, pelancaran laman web ini penting kerana komposisi penduduk yang tinggal di Serdang adalah terdiri dari pelbagai kaum, agama dan budaya sekali gus mereka dapat mengetahui sedikit sebanyak tentang Islam.

"Satu kajian yang dilakukan oleh seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mendapati 90 peratus orang bukan Islam menyatakan tidak pernah didatangi oleh mana-mana orang Islam untuk menyampaikan mesej Islam kepada mereka.

"Dewan Muslimat seharusnya merebut peluang ini untuk terus mendampingi sasaran dakwah ini melalui pendekatan yang bijaksana, penuh hikmah, tepat dan istiqamah dengan mempelbagai wasilah untuk menghimpunkan manusia dengan mendorong dan mengingatkan mereka kepada tanggungjawab sebagai hamba Allah di muka bumi ini," katanya. - mns_

Tiada ulasan: