Khamis, 9 April 2009

Lagi pemimpin BN jumpa Najib

Bernama


PUTRAJAYA - Ketika ramai ternanti-nanti tentang pengumuman Kabinet baru yang heboh diperkatakan akan berlaku hari ini, pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) masih dilihat mengunjungi pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini.

Pemimpin pertama yang kelihatan meninggalkan pejabat Perdana Menteri kira-kira pukul 11.35 pagi tadi ialah Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Ketika ditemui pemberita di pekarangan pejabat itu, Taib berkata, beliau telah menyerahkan senarai nama bagi Sarawak untuk dipertimbangkan menganggotai Kabinet Perdana Menteri yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Senarai nama masih sama seperti mana senarai yang dikemukakan kepada bekas Perdana Menteri dulu (Tun Abdullah Ahmad Badawi)," katanya sambil menambah beliau menyerahkan kepada Najib untuk mempertimbangkan senarai nama yang dikemukakan.

"Barangkali mungkin ada kejutan menggembirakan untuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang turut mengunjungi Najib berkata, beliau turut mengesyorkan senarai nama daripada MIC untuk dipertimbangkan Perdana Menteri.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas mengenai berapa, siapa dan apakah terdapat muka-muka baru di dalam senarai yang diserahkan kepada Perdana Menteri itu.

Barisan Kabinet sedia ada terdapat 32 anggota Kabinet dengan 27 kementerian dan hampir dua pertiga daripadanya adalah pelantikan daripada UMNO, komponen parti terbesar dalam 13 komponen parti pemerintah Barisan Nasional.

Yang lain ialah empat daripada MCA dan masing-masing seorang daripada MIC, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazandusun Murut (UPKO).

Kira-kira pukul 11.15 pagi, kenderaan yang membawa Presiden SUPP, Tan Sri Dr. George Chan dilihat memasuki bangunan pejabat Perdana Menteri.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Chan berkata, beliau gembira dengan pertemuan dan perbincangan yang diadakan dengan Najib. - Bernama

Tiada ulasan: