Rabu, 8 April 2009

Kursus perubatan Islam diperkenal di universiti

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan akan memperkenalkan kursus peringkat diploma dalam bidang Amalan Perubatan Islam di sebuah universiti di sini, tidak lama lagi.

Pengarah Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) kementerian itu, Dr Ramli Abd Ghani berkata, kandungan bagi kursus yang memakan masa dua tahun setengah itu disusun dengan bantuan pengamal perubatan Islam terkenal di negara ini termasuk Dr Harun Din, Datuk Amran Kasimin, Dr Hatta Sharom dan beberapa pengamal perubatan tradisional dan komplementari lain.

Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada pengamal perubatan Melayu tentang ajaran Islam sebenar, di samping mengelak umat Islam daripada melakukan amalan syirik dan khurafat.

Dr Ramli berkata, lepasan kursus ini, yang diiktiraf sebagai pengamal perubatan bertauliah, akan bekerja sendiri bagi merawat santau dan masalah lain berkaitan kerohanian.

Beliau berkata, mereka juga mungkin diambil bekerja di institusi kerajaan tertentu pada masa akan datang.

Dr Ramli berkata, bahagian berkenaan juga sedang membuat persiapan untuk memperkenalkan kursus peringkat ijazah dalam bidang perubatan tradisional Cina, akupunktur, naturopati, perubatan Melayu, Ayurveda dan penjagaan Ciroprakti.

Menurutnya, bahagian itu akan memperkenalkan kursus peringkat diploma dalam bidang akupunktur, naturopati, aromaterapi, refleksologi dan urut tradisional Melayu.

Dr Ramli berkata, kursus berkenaan akan diadakan di Universiti Perubatan Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia, Kolej Inti, Kolej Universiti Cyberjaya dan Kolej Komuniti.

Sebahagian besar kursus ini akan dikendalikan pensyarah tempatan, manakala sesetengahnya pula, seperti perubatan tradisional Cina, akupunktur dan Ayurveda, mungkin memerlukan bantuan tenaga pengajar dari luar negara, katanya.

Beliau berkata, bahagian itu juga akan bekerjasama dengan anggota Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) untuk menubuhkan institusi latihan bagi memajukan industri spa, yang mempunyai kaitan dengan pelancongan kesihatan di negara ini.

Beliau berkata, semua kursus itu akan dibuat penilaian sewajarnya dengan kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan memberi jaminan bahawa pengamalnya mampu menyediakan perkhidmatan yang selamat dan berkesan.

Menurutnya, bidang perubatan tradisional dan komplementari semakin mendapat pengiktirafan di seluruh dunia dan Malaysia akan memajukan sektor ini kerana ia popular dalam kalangan rakyat Malaysia memandangkan hampir 14,000 pesakit telah memilih rawatan jenis itu sejak ia diperkenalkan di tiga hospital iaitu di Putrajaya, Kepala Batas dan Johor Baharu sejak kira-kira 18 bulan lepas.

Dr Ramli berkata, bahagian itu sedang membuat persiapan untuk mengembangkan perkhidmatan berkenaan ke tiga lagi hospital kerajaan iaitu di Terengganu, Sabah dan Sarawak menjelang Ogos ini.

Menurutnya, menjelang 2010, perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari akan disediakan di 10 hospital dan dua klinik kerajaan di negara ini.

Tiada ulasan: