Sabtu, 11 April 2009

Kerajaan negeri ambil alih urus hutan simpan

SINAR HARIAN


SEPANG – Kerajaan negeri amat memandang berat mengenai hutan di Selangor memandangkan keluasannya hanya tinggal 30 peratus sahaja.

Menurut Pengerusi Jawaatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar Arulanandam, bagi menangani masalah pengecilan kawasan hutan kerajaan negeri mengambil alih pengurusan hutan simpan dan berusaha memulihkan kembali hutan tersebut seperti di Damansara dan Hulu Kelang.

“Walaupun pemuliharaan tidak dilakukan secara besar-besaran, namun kami tetap prihatin terhadap masalah tersebut dan sedang membaik pulih kawasan ini selain menjadikannya kawasan hutan simpan kekal,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri memandang serius kemusnahan alam sekitar dan tidak akan membenarkan sesiapa pun memajukan kawasan hutan simpan yang ada.

“Jika tidak mendapat kelulusan daripada Exco, tiada siapa mempunyai hak untuk memajukan kawasan tersebut tidak kira Pejabat tanah mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Interaktif Alam Sekitar Persatuan Pencinta Alam Malaysia di sini.

Projek tersebut adalah inisiatif Sepang Gold Cost Sdn Bhd bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia di mana kesedaran terhadap pemuliharaan dan pendidikan mengenai alam sekitar adalah agenda utama penubuhannya.

Selain itu, Xavier turut mengakui kerajaan negeri sedang berusaha untuk meningkatkan industri pelancongan negeri ini.

Menurutnya, projek pelancongan yang akan dijalankan di Daerah Sepang mampu meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan berkenaan selain menjadikan Selangor lokasi pelancongan negara.

“Walaupun Selangor menjadi pintu masuk ke negara ini, namun kebanyakan pelancong hanya menjejakkan kaki di KLIA dan kemudiannya akan ke tempat lain seperti Langkawi dan Pulau Pinang.

“Perkara ini amat merugikan rakyat negeri ini dan saya berharap Pusat Interaktif Alam Sekitar Persatuan Pencinta Alam Malaysia ini dapat menarik pelancong untuk berada lebih lama di negeri ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Pengerusi 1 Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Datuk Dr Hashim Abdul Wahab dan Presiden Sepang Gold Cost, Ho Hok Seng.

Tiada ulasan: