Sabtu, 18 April 2009

Kerajaan mahu pastikan internet tidak disalahguna

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kerajaan bukan mahu mencari salah sepanjang masa terhadap penulis blog dan internet tetapi mahu memastikan undang-undang dilaksanakan selain memberi jaminan kepada masyarakat supaya penggunaan media baru berkenaan tidak disalahgunakan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, kementerian yang diterajuinya itu juga memainkan peranan supaya kestabilan perkara yang dipaparkan di internet berjalan dengan baik.

“Ia bukan sesuatu yang kita sentiasa cari untuk kesalahan setiap masa. Tetapi kita ingin hak orang ramai dijaga oleh pihak berkuasa berwajib dan undang-undang berkenaan.

“Hajat kami yang pertama nak menjayakan (konsep) Satu Malaysia. Bagaimana nak jayakan kalau putarbelit fakta, (ada pihak) mencetuskan sentimen perkauman, bagaimana kami nak berjaya mencapai matlamat itu. Saya ingin melihat undang-undang negara dihormati oleh semua pihak,” katanya.

Rais berkata, negara ini ialah sebuah negara yang mempunyai undang-undang dan sesiapa yang melanggari undang-undang terpaksa menerima hukuman berikutan dengan tindakannya.

“Sehubungan itu di bawah kementerian ini ada pelbagai undang-undang yang melindungi hak orang ramai untuk berkomunikasi melalui khasnya internet. Kita ingin memberikan jaminan kepada orang ramai bahawa mereka yang telah difitnah oleh penulis web atau blog, mereka ada hak untuk melaporkan kepada kita dan kemudian (kita) kaji sama ada ia mengandungi kebenaran atau tidak,' katanya.

Tiada ulasan: