Ahad, 12 April 2009

Kepimpinan MIC tidak bincang 'keluar' kabinet

MALAYSIA KINI


Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel hari ini berkata beliau tidak tahu menahu mengenai sebarang mesyuarat pucuk pimpinan parti itu untuk membincangkan kemungkinan meminta wakil parti itu menarik diri daripada menganggotai kabinet.

"Jika mesyuarat itu diadakan, sudah tentu saya tahu mengenainya. Setiausaha agung, Datuk D r S Subramaniam dan ketua penerangan, M Saravanan menafikan mengetahui apa-apa mengenai cadangan tersebut," katanya.

Subramaniam adalah satu-satunya menteri dari MIC dalam kabinet baru, dan mengetuai kementerian sumber manusia, manakala Saravanan dilantik sebagai timbalan menteri Wilayah Persekutuan.

Seorang lagi timbalan menteri dari MIC ialah SK Devamany (Jabatan Perdana Menteri).

Bagaimanapun, Palanivel bersetuju - MIC selaku rakan komponen kanan BN - sewajarnya diberi jawatan lebih kanan dalam kabinet dan badan-badan pembuat keputusan dalam kerajaan, agensi kerajaan dan syarikat kaitan kerajaan (GLC).

Beliau juga berharap, Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mendapatkan perkhidmatan mereka yang berpengalaman untuk menganggotai badan penasihat kerajaan.

Palanivel menegaskan demikian sebagai mengulas laporan Malaysiakini semalam yang memetik sumber dalaman MIC sebagai berkata parti itu sedang menimbang untuk menarik keluar wakilnya daripada kabinet.

Sumber itu berkata, ia kerana banyak lagi isu-isu yang belum selesai, terutama berhubung "layanan pentadbiran baru terhadap masyarakat India".

Satu lagi punca, menurut sumber yang rapat dengan pucuk pimpinan MIC itu, ialah masyarakat India masih 'dilayan sebagai rakyat kelas kedua, malah kelas ketiga' di negara ini.

Tiada ulasan: