Ahad, 19 April 2009

Keperluan tiga peperiksaan awam dikaji semula

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedang mengkaji keperluan diadakan tiga peperiksaan awam iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kalau kita lihat daripada jumlah peperiksaan awam, adakah perlu kita adakan tiga peperiksaan awam sehingga ke SPM. "Di sekolah rendah (umpamanya), biasa kita lihat ibu bapa mengambil cuti menemani anakanak mereka menghadapi sesuatu peperiksaan.

"Adakah itu yang kita nak?," kata Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 dan Persidangan Kebangsaan Penerbitan Ilmiah 2009 di sini hari ini.

Wee berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai langkah-langkah yang akan diambil dalam usaha kementerian itu mentransformasi dan merombak sistem pendidikan negara menjelang 2010.

Ditanya sama ada kementerian itu akan mengurangkan jumlah peperiksaan awam yang ada pada masa ini, Wee berkata, beliau tidak menolak kemungkinan jumlah peperiksaan awam itu mungkin dikurangkan.

"Kita akan melihat semua kemungkinan. Itu yang saya katakan kalau kita buat peperiksaan berpusat di sekolah bermakna kita akan kurangkan peperiksaan secara berpusat.

"Macam UPSR sekarang (penilaiannya) 100 peratus mungkin kurang pada 30 peratus macam itu, PMR 50 peratus dan SPM 70 peratus," katanya.

Wee berkata, kementerian itu juga sedang mengkaji semula pendekataan sistem pendidikan negara sama ada memberikan penekanan kepada proses pembelajaran atau pencapaian akademik serta kerja kursus dari segi kokurikulum.

"Kita akan nilai. Tidak (akan tertumpu) kepada satusatu peperiksaan sahaja," katanya.

Pada 3 Mac lepas, Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan akan mengambil dua pendekatan yang membawa kepada transformasi dan rombakan yang radikal kepada sistem pendidikan negara menjelang tahun 2010 bagi membolehkan ia sesuai dengan tuntutan semasa khususnya melibatkan murid sekolah rendah dan prasekolah.

Selain membangunkan sistem pentaksiran pendidikan kebangsaan (PPK) yang holistik untuk menilai bukan saja pencapaian akademik pelajar tetapi juga mengambil kira aspek intelek, rohani, jasmani, emosi dan secara bersepadu. BERNAMA

Tiada ulasan: