Selasa, 14 April 2009

Kemelut politik Terengganu: 10 ADUN boikot, paksa MB undur

MSTAR ONLINE


KUALA TERENGGANU: Lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) memulaukan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi ini - yang bersidang buat hari kedua - bagi memaksa Menteri Besar, Datuk Ahmad Said meletakkan jawatan.

Kesemua lapan wakil rakyat berkenaan kini berhimpun di sebuah hotel utama di sini dan dijangka mengadakan sidang media kemudian.

Tindakan mengejutkan mereka itu berlaku ketika ada kenyataan sebelum ini bahawa tiada pihak yang akan membawa undi tidak percaya meminta Ahmad, yang dilantik sebagai Menteri Besar Mac 2008, agar meletakkan jawatan.

Ahmad dilantik mengetuai kerajaan negeri tahun lalu dalam persekitaran kontroversi.

Tengah malam tadi pula tiga ADUN BN Terengganu membuat laporan polis setelah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan, dipercayai berhubung kemelut politik di negeri ini.

ADUN Paka, Zakaria Abdullah dan ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira 12.40 tengah malam manakala ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid pula membuat laporan sama di IPD Hulu Terengganu di Kuala Berang kira-kira 12.30 tengah malam.

Ketika dihubungi mStar Online kelmarin, Rosol memberi jaminan beliau tidak akan membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.

Malah beliau turut menafikan sekeras-keranya dakwaan yang mengatakan bahawa beliau akan mengetuai beberapa lagi ADUN BN untuk berbuat demikian.

Sehari sebelum itu, Ahmad berkata mana-mana ADUN BN yang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau bakal berdepan tindakan disiplin termasuk dipecat.

Persidangan Dewan Undangan Negeri selama tiga hari bermula semalam dengan dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman.

Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri serta ADUN Kijal berkata, mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap seorang menteri besar dalam persidangan dewan adalah satu perkara serius.

"Jika usul itu datang dari pihak pembangkang, kami di dalam kerajaan akan menolaknya. Jika ia dikemukakan oleh wakil BN, dia akan dipecat, itu biasalah.

"Kalau mendapat sokongan, bubar dewan itu sahaja. Kita terpaksa menerimanya kalau dia nak buat..apa nak kata," katanya.

Tiada ulasan: