Selasa, 21 April 2009

Kaum Dayak kurang ‘pintar’ berpolitik

pemuda sarawak


SRI AMAN - Kaum Dayak di kawasan luar bandar masih kurang faktor ‘kepintaran’ dalam politik menyebabkan mereka mudah dimanipulasikan oleh pihak tertentu demi kepentingan politik masing-masing.

Menteri Kemajuan Tanah Sarawak, Datuk Seri James Jemut Masing berkata, ini menyebabkan kaum Dayak berpecah-belah daripada segi politik.

Menurutnya, kelemahan daripada segi ilmu pendidikan selama ini menyebabkan mereka tidak sehati dan sejiwa dan politik yang sama demi menaikkan status pembangunan kaum Dayak.

”Untuk menyatukan kaum Dayak dalam satu hala tuju politik yang sama, masyarakat Dayak yang berpendidikan tinggi harus turun padang untuk menaik taraf pendidikan penduduk kaum itu di luar bandar,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Makan Malam Hari Easter anjuran Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Bukit Begunan di sini semalam.

Bagaimanapun, Masing yang juga Presiden PRS memberitahu, beliau kesal sekiranya wujud kumpulan kaum Dayak berpendidikan tinggi yang sengaja menghasut golongan penduduk rumah panjang untuk menentang segala dasar kerajaan.

Katanya, ini menyebabkan ‘penyatuan politik’ kaum itu semakin rapuh dan akibatnya kaum Dayak akan terus ketinggalan daripada segi pembangunan.

”Saya berharap kaum Dayak di negeri ini dapat berjuang dalam sebuah hala tuju politik yang sama demi membolehkan mereka menikmati faedah pembangunan seiring dengan kaum-kaum lain di masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengulas tindakan Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, beliau menyifatkannya sebagai satu gimik politik Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, PKR sengaja mahu menguji sejauh mana sokongan penduduk terhadap parti berkenaan menerusi perletakkan jawatan Fairus sebagai ADUN Penanti mulai 17 April lalu yang akan menjurus kepada pilihan raya kecil selepas itu.

Tiada ulasan: