Jumaat, 24 April 2009

Karpal terjatuh ketika hadiri kes mahkamah

BERNAMA


KUANTAN: Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh terjatuh daripada kerusi rodanya ketika menghadiri sebutan kes permohonan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk menangguhkan keputusan bayaran berjumlah RM63 juta kepada sebuah syarikat pembalakan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Beliau yang mewakili syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd diangkat beberapa pembantunya menaiki tangga ke tingkat satu mahkamah sebelum terjatuh di bahagian kaki lima mahkamah berkenaan selepas kerusi roda yang dinaikinya hilang keseimbangan.

Karpal ketika ditemui wartawan selepas kes tersebut ditangguhkan berkata, kejadian itu (terjatuh) adalah pertama kali berlaku kepadanya.

Katanya, beliau mengalami sakit di bahagian belakang badan ekoran kejadian itu, malah sukar menggerakkan kedua tangan pada peringkat awalnya.

"Sudah sampai masanya kita mempunyai sistem yang baik bagi kemudahan OKU (Orang Kurang Upaya), nasib baik tidak berlaku apa-apa ke atas saya, kalau tidak, akan ada pilihan raya kecil lagi," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan memohon untuk meneruskan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi yang terletak di bahagian bawah bangunan itu, Karpal berkata, "I have to" (saya perlu lakukan).

Karpal, 69, berkerusi roda selepas mengalami kemalangan di Jalan Utama ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 29 Januari 2005.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Khamis depan bagi mendengar permohonan penangguhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Halim Aman yang memutuskan pihak Menteri Besar perlu melunaskan bayaran penghakiman dalam tempoh 14 hari berakhir 4 Mei ini selepas membenarkan permohonan perintah 'mandamus' kepada syarikat pembalakan tersebut.

Karpal bersama Rajoo D. Moothy yang mewakili syarikat tersebut memohon Hakim Datuk V.T Singham memberikan masa bagi membalas afidavit yang difailkan pihak Menteri Besar yang diwakili peguam, Datuk Shafie Abdullah dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri, Datuk Mat Zara'Ai Alias pada Rabu lepas.

Pada 15 Oktober 2008, syarikat pembalakan berkenaan memfailkan permohonan 'mandamus' setelah gagal menerima sebarang pembayaran walaupun telah menuntut pembayaran jumlah penghakiman dan faedah pada 7 April, 2008 dan 27 Ogos, 2008.

Pada 17 September tahun lepas, kerajaan Pahang diperintah membayar sejumlah RM60 juta kepada syarikat tersebut selepas ia gagal dalam usaha terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mendapat kebenaran merayu.

Mahkamah Persekutuan dengan itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan kerajaan Pahang membayar RM37,127,471.60 berserta faedah lapan peratus setahun mulai 31 Dis 2000.

Tiada ulasan: