Khamis, 9 April 2009

Kafa gantung Halim berkuatkuasa serta-merta

BERITA HARIAN


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) menggantung Halim Napi (gambar) berikutan tindakannya menumbuk dan memijak pemain Negeri Sembilan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak selepas perlawanan antara kedua-dua pasukan dalam separuh akhir pertama Piala FA, malam kelmarin.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, menegaskan penggantungan ke atas penjaga gol yang kerap dibayangi kontroversi itu berkuatkuasa serta-merta sehingga tarikh yang akan ditentukan kemudian.

"Di peringkat pengurusan Kafa, kita ambil tindakan mengenakan penggantungan ke atas Halim sehingga tarikh yang akan ditentukan kelak," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Kafa di Wisma Kafa, semalam.

Halim, 37, bukan asing dengan kontroversi malah pernah digantung seumur hidup pada 1997 kerana menyerang pengadil, S Selaarajan dalam perlawanan Kelantan menentang Perak di Ipoh pada 5 Ogos.

Dia tidak beraksi untuk Kelantan pada musim 2008 selepas menyaman Kafa yang didakwanya gagal memenuhi terma dan syarat kontrak pada 5 Jun 2007.

Halim yang kemudian menternak kambing sebagai mata pencariannya akhirnya kembali ke pangkuan pasukan Kelantan awal tahun ini.

Pada masa sama, Annuar berkata, Kafa juga akan menghantar surat permohonan maaf kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) berhubung insiden malam kelmarin.

ANTARA KES BABITKAN HALIM

* 23 Jun 1994 - Halim dan rakan sepasukannya, Zahasmi Ismail dikenakan penggantungan sehingga akhir musim selepas didapati bersalah menyerang pemain tengah Selangor, Zsolt Bucs, ketika pertemuan Selangordan Kelantan dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Merdeka pada 18 Jun 1994

* 8 Ogos 1997 - Digantung seumur hidup oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana menyerang pengadil, S Selaarajan pada pertemuan Kelantan- Perak di Ipoh pada 5 Ogos 1997.

* 28 Ogos 1997 - Jawatankuasa Rayuan FAM mengurangkan hukuman terhadap Halim kepada penggantungan setahun selain denda RM3,000

* 23 Februari 1998 - Persatuan Bola sepak Kelantan mengemukakan rayuan pada Mesyuarat Kongres FAM untuk Halim menerima pembebasan awal dan rayuan itu berjaya apabila dia kembali beraksi pada 1 Jun 1998.

* 5 Jun 2007- Halim menyaman Kafa atas dakwaan Kafa gagal memenuhi terma dan syarat kontrak yang ditandatangani 17 November 2006 hingga 31 Oktober 2007.

* 2008 - Tidak beraksi dalam saingan Liga M.

* Januari 2009 - dipanggil menyertai semula skuad Kelantan oleh jurulatih, Peter Butler.

* 12 Mac 2009 - Halim dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda RM1,000 kerana mengasari pemain lawan pada pertemuan Liga Super dengan Selangor di Stadium Shah Alam 28 Februari lalu

* 7 April 2009 - Halim menyerang pemain Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Radzak selepas pertemuan separuh akhir pertama Piala FA di Sultan Muhd ke-IV

Tiada ulasan: