Sabtu, 11 April 2009

Kabinet Najib, keputusan BN paling lemah – Ustaz Harun

Editor Buletin Online


Kuala Terengganu – PAS Terengganu menyifatkan pengumuman senarai baru Kabinet oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, semalam, sebagai keputusan paling lemah pernah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).


Timbalan Pesuruhjayanya, Dato’ Ustaz Harun Taib berkata, pemilihan anggota Kabinet bagi memegang jawatan masing-masing juga jelas memperlihatkan ketidaksesuaian yang begitu ketara dan diyakini tidak berupaya untuk melaksanakan tanggungjawab diberikan itu.

“Bagaimana mereka mahu mentadbir negara dan menjalankan tanggungjawab sekiranya tidak memiliki kebolehan serta keupayaan dalam portfolio yang telah diamanahkan.

“Sekiranya dilihat dengan betul, kebanyakan menteri yang dipilih untuk ‘mengepalai’ Kabinet adalah daripada ‘saudara’ beliau (Dato’ Najib),” katanya kepada Sinar Harian

Beliau berkata seharusnya Najib perlu mengambil iktibar dan pengajaran kekalahan calonnya (BN) pada pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Perak serta Bukit Selambau, Kedah, yang jelas mencerminkan rakyat inginkan perubahan dalam kepimpinan negara.

“Keputusan Najib untuk mengecilkan Kabinet juga dilihat tidak tepat kerana bebanan yang terpaksa dipikul mereka (menteri Kabinet) semakin bertambah bagi ‘menutup’ kekosongan telah ‘dibubarkan’ beliau itu.

“Saya tidak lihat keputusan mengecilkan Kabinet akan memberikan lebih kebaikan kerana ia secara tidak langsung akan membuatkan Kabinet yang baru dilantik itu perlu memberi fokus dan tumpuan kepada banyak perkara serta tidak mustahil tanggungjawab mereka tidak dapat dilakukan dengan sebaik mungkin,” jelasnya

Katanya, tindakan mengecilkan Kabinet itu dilaksanakan bertujuan hanya mahu menarik perhatian rakyat supaya mempercayai BN yang dilihat semakin hilang ‘taring’ akibat dipenuhi pelbagai masalah membabitkan gejala rasuah.

Tiada ulasan: