Isnin, 13 April 2009

Kabinet: Mana ada nak tarik diri - MIC

KLPOS.COM


KUALA:LUMPUR - Anggota akar umbi Kongres India Malaysia (MIC) mungkin tidak berpuas hati dengan perwakilan kaum India dalam Kabinet baru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun, pucuk pimpinan parti itu tidak ada rancangan hendak menarik keluar satu-satunya menteri MIC dari Kabinet, kata Ketua Penerangan MIC, yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan.

Menurut beliau, meskipun terdapat rungutan bahawa MIC tidak diberi banyak jawatan dalam Kabinet, tiada jalan bagi MIC mengambil langkah sebegitu drastik.

Menurutnya, menambah kuota atau merombak jawatan Kabinet terserah kepada budi bicara dan kebijaksanaan Perdana Menteri.

Tiada sesiapa pun kecuali Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, yang boleh membincangkan perkara itu dengan Datuk Seri Najib.

Mengenai sama ada kaum India diketepikan terutama selepas kekalahan Datuk Seri Samy Vellu dalam pilihan raya 8 Mac 2008, Datuk M. Saravanan berkata lebih banyak peluang telah diberikan kepada kaum India sejak pilihan raya itu.

'Lebih RM100 juta telah diperuntukkan bagi sekolah Tamil di bawah pakej rancangan ekonomi dan sebuah jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan bagi menangani hal ehwal kaum India,' tegas beliau.

Beliau berkata begitu semasa mengulas khabar angin yang disiarkan oleh sebuah laman web yang mengatakan bahawa MIC menimbang hendak menarik keluar Datuk Dr S. Subramaniam, yang kini menjadi Menteri Sumber Manusia, dari Kabinet kerana tidak puas hati sebab MIC gagal mendapat portfolio Menteri Kerja Raya yang pernah dipegang oleh Datuk Seri Samy Vellu.

Bendahari MIC, Datuk S.K. Devamany, berkata terdapat rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin akar umbi - tanda yang menunjukkan bahawa kaum India tidak diwakili secukupnya dalam Kabinet.

Bagaimanapun, Dr Subramaniam sendiri menyifatkan laporan itu sebagai 'salah dan berniat jahat.'

'Kami belum mendengar tentang langkah serupa itu. Apa jua keputusan mengenai sebarang perkara berkaitan parti sentiasa dibincangkan dengan presiden parti dalam jawatankuasa kerja pusat,' tegas beliau.

Seorang pegawai MIC yang tidak mahu namanya disiarkan ditukil akhbar Sunday Star sebagai berkata bahawa Menteri Sumber Manusia dianggap sebagai satu jawatan rendah dalam Kabinet.

MIC juga tidak berpuas hati kerana parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) diberi lebih banyak jawatan dan kedudukan yang lebih baik.

Menurutnya, keputusan menarik keluar menteri berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat pegawai kanan MIC Jumaat lalu.

'Usul itu akan dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pusat Khamis ini dan ia dijangka diluluskan,' kata beliau.

1 ulasan:

mrafizi berkata...

Motif?

PAda saya sebagai rakyat Malaysia kita perlu yakin dan percaya, kabinet yg dibentuk adalah kabinet rakyat. Justeru jawatan dan portfolio menteri juga adalah portfolio rakyat, mana boleh wujud portfolio MIC, MCA mahu pun UMNO? JAwatan menteri boleh dilantik dari kalangan ahli parlimen atau senator yg mempunyai high-value as a leader to lead the human capital in the ministry. Fahami falsafah tersebut sedalamnya sebelum apa-apa rasa ketidak puasan hati diterjemahkan.