Khamis, 9 April 2009

Kabinet baru hari ini

Najib menghadap Seri Paduka jam 11 pagi untuk dapat perkenan

Oleh Johari Ibrahim, Azrina Ahzan dan Saufi Hamzah


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan senarai anggota Kabinetnya hari ini, manakala majlis Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia jemaah menteri dan timbalan menteri dijadualkan di Istana Negara pada jam 9.30 pagi esok.

Mengikut kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan di sini semalam, Najib akan membuat pengumuman itu di Dewan Taklimat ICU, Aras 1, Jabatan Perdana Menteri pada jam 3 petang ini.

"Perdana Menteri dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin jam 11 pagi esok (hari ini) untuk mendapat perkenan," kata kenyataan itu. Pengumuman barisan Kabinet baru itu dijangka disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Semalam, beberapa lagi pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri berhubung pelantikan wakil parti masing-masing dalam Kabinet baru itu.

Antara yang dilihat memasuki Bangunan Perdana Putra ialah Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Dr James Jemut Masing.

Turut kelihatan memasuki bangunan itu ialah Timbalan Presiden Umno yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Abdul Taib yang juga Ketua Menteri Sarawak, ketika ditemui pemberita berkata beliau menyerahkan kepada Najib untuk memutuskan calon dari negeri itu bagi mengisi jawatan dalam barisan Kabinet baru.

"Jumlah calon daripada PBB masih sama dan terserah kepada Perdana Menteri. Saya hanya memberikan pandangan mengenai keadaan di Sarawak. Beliau (Najib) pandai dan barangkali ada kejutan bagi Sabah dan Sarawak," katanya selepas menemui Najib, kira-kira jam 11.35 tengah hari semalam.

Samy Vellu bagaimanapun enggan mengulas mengenai senarai calon dari parti itu yang diserahkan kepada Najib.

"Saya ada nama tetapi tak boleh cakap. Jumlahnya pun tak boleh cakap. Saya hanya jumpa Perdana Menteri dan bagi nama," katanya yang meninggalkan Bangunan Perdana Putra, kira-kira jam 11.45 pagi.

Mengenai pertambahan jumlah menteri bagi MIC, Samy Vellu berkata, keputusan mengenainya bergantung kepada Perdana Menteri. Ketika ini, MIC hanya mempunyai satu wakil dalam Kabinet, iaitu Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Chan pula berkata, beliau berpuas hati dengan hasil perbincangan dengan Perdana Menteri, khususnya mengenai calon dari parti itu.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, meminta Perdana Menteri mengekalkan kuota empat menteri dan enam timbalan menteri dari parti itu dalam barisan Kabinet baru.

Ong yang juga Menteri Pengangkutan, berkata dalam pertemuan dengan Najib Isnin lalu, beliau menyerahkan senarai nama pemimpin MCA berdasarkan hiraki parti dan status mereka sebagai Ahli Parlimen atau senator yang difikirkan wajar untuk dilantik menganggotai Kabinet.

"MCA ingin melahirkan pendirian dan harapan parti agar jawatan atau bilangan anggota sedia ada dikekalkan iaitu empat jawatan menteri dan enam timbalan menteri.

"Itu memang peranan saya selaku Presiden parti, saya kena maklumkan. Pendirian berkenaan juga dibuat sebelum ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Presiden MCA di sini, semalam.

Hadir sama ialah Naib-naib Presiden MCA, Datuk Kong Cho Ha, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Tan Kok Hong, Datuk Dr Wee Kah Siong dan Datin Paduka Chew Mei Fun.

Ong bagaimanapun enggan mengulas sama ada pemimpin MCA dalam Kabinet sekarang akan dikekalkan.

Selain Ong, pemimpin MCA yang menganggotai Kabinet sebelum ini ialah Liow (Menteri Kesihatan), Ng (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan bekas Setiausaha Agung, Datuk Ong Ka Chuan (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Tiada ulasan: