Ahad, 19 April 2009

Johor: 'Kaji syor guru aktif politik'

Pemimpin Umno tidak mahu usaha pertingkat kualiti pendidikan terjejas

Oleh Jamaludin Husin


MUAR: Cadangan membenarkan guru Kumpulan A bergiat aktif dalam politik mendapat reaksi berbeza di kalangan pemimpin Umno di peringkat cawangan khususnya dalam Bahagian Bakri dan Pagoh.

Sebahagian besar ahli mahu cadangan itu dikaji semula bagi mengelak pelaksanaannya memberi kesan negatif terhadap usaha memperkasakan misi nasional membabitkan bidang pendidikan negara.

Ketua Umno Cawangan Seri Naning dalam bahagian Bakri, Md Ghazali Salamun, berkata pada dasarnya cadangan yang disuarakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada perhimpunan agung Umno baru-baru ini itu adalah baik bagi memastikan guru kumpulan A turun ke gelanggang membantu mengukuhkan parti.

Namun, katanya, negara mempunyai agenda untuk meningkatkan kualiti pendidikan demi kepentingan dan masa depan generasi muda yang dahagakan ilmu pengetahuan.

Beliau berkata, dengan membenarkan guru kumpulan A berpolitik juga boleh menjejaskan mutu perkhidmatan mereka kerana tumpuan untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap tugas dan perkhidmatan akan berbelah bahagi.

"Sejak Umno ditubuhkan pada 1946, memang diakui sebahagian besar mereka yang menyandang jawatan penting dalam parti sama ada di peringkat cawangan atau bahagian serta Majlis Tertinggi (MT) adalah guru.

"Ketika itu, guru bukan saja mempunyai peranan besar untuk menarik lebih ramai orang Melayu menjadi ahli parti, tetapi berperanan untuk menggerakkan jentera parti," katanya, di sini, baru-baru ini.

Ketua Umno Cawangan Seri Sejahtera, Air Hitam, Abd Aziz Roslan, pula berkata langkah membenarkan guru kumpulan A berpolitik bukan cara terbaik memastikan kalangan profesional itu benar-benar menyokong kerajaan.

Beliau berkata, tindakan itu juga boleh menimbulkan masalah kepada pihak pentadbiran yang terpaksa melakukan tugas pemantauan terhadap guru terbabit bagi mengelak mereka mengabaikan tanggungjawab sebagai pendidik.

"Berpolitik memerlukan pengorbanan besar bukan saja dari segi masa dan tenaga, malah perlu bertugas sepenuh masa terutama menjelang pilihan raya dan semua peringkat mesyuarat," katanya.

Ketua Umno Cawangan Kampung Melayu, Pagoh, Jamal Sudin, pula berkata dia khuatir jika guru Kumpulan A dibenarkan bergiat aktif dalam bidang politik, ada yang akan menyertai pembangkang.

Tiada ulasan: