Jumaat, 3 April 2009

Jawi larang umat Islam sertai pesta di Speedzone Tour

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melarang masyarakat Islam di negara ini menghadiri satu acara tahunan wajib Menara Kuala Lumpur, anak syarikat Telekom Malaysia Berhad (sebuah syarikat kaitan kerajaan) iaitu Speedzone Tour 2009 pada 4 April ini.

Kenyataan media oleh Pegawai Perhubungan Awam, Tuan Asmawi Tuan Umar memaklumkan acara bermula jam enam petang hingga lewat tiga pagi itu sebenarnya pesta arak dan maksiat kerana menurut maklumat, pengunjungnya 80 peratus adalah remaja Melayu.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, tanpa prejudis (ihtiati) kepada orang Islam, Jawi mengingatkan dan melarang keras kepada orang Islam supaya tidak melibatkan, mengunjungi, menyertai atau apa sahaja keadaan yang menyebabkan mereka berada di lokasi acara berkenaan kerana bertentangan dengan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 di bawah Seksyen 19(1) yang menyatakan: ”Mana-mana orang yang di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya”.

“Dan Seksyen 19(2) pula menyatakan: Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan atau mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

apa masalah dengan jawi sekarang ni?
saya ke speedzone atas undangan kawan, dan masuk melalui pas vip. di luar pintu masuk speedzone sahaja sudah terpampang banner tiada arak di pesta tersebut. jawi patutnya ambil tahu, jgn pandai cakap sahaja. dah lah speedzone itu sebahagian daripada international event. malu malaysia sahaja. kalau bukan orang melayu yang pergi, siapa lagi?jawi hanya tahu cakap, tak buat kerja langsung!!