Khamis, 23 April 2009

Jangan sebar SMS pergaduhan di Pontian: Polis

BERNAMA


JOHOR BAHRU: Polis memberi amaran akan menahan mana-mana pihak yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk hasutan dan fitnah tentang kejadian pergaduhan di sebuah sekolah di Pekan Nanas, Pontian dua hari lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mokhtar Shariff, berkata polis mempunyai kepakaran untuk mengesan mereka yang menyebarkan SMS terbabit.

"Penyebar SMS boleh ditahan di bawah Akta Hasutan, Akta Multimedia dan lain-lain lagi.

"Polis juga menasihatkan mereka yang menerima SMS ini supaya menghubungi balai polis terdekat untuk mendapatkan penjelasan tentang keadaan sebenar," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pergaduhan itu pada mulanya dilaporkan hanya membabitkan pelajar tetapi kemudiannya merebak membabitkan pihak lain.

Beliau berkata, polis menyifatkan kejadian tersebut sebagai insiden kecil yang diperbesar-besarkan dan terdapat pihak yang cuba mengeksploitasi kejadian berkaitan.

Mokhtar berkata, polis memperolehi perintah mahkamah untuk menahan reman seorang lelaki selama tiga hari bagi membantu siasatan tentang kejadian pergaduhan tersebut.

"Lelaki yang ditahan reman ini disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh kawasan sekolah," katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan tentang kejadian itu sedang disiapkan dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Persekutuan untuk tindakan lanjut.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Pengarah Pelajaran Negeri, Guru Besar sekolah berkenaan dan Ketua Polis Daerah mengenai kejadian itu.

Mengenai kejadian sebuah kenderaan polis dibaling di luar Balai Polis Pontian semalam, Mokhtar berkata, pihaknya sudah mengenal pasti individu yang bertanggungjawab itu dan akan menahannya tidak lama lagi.

Tiada ulasan: