Sabtu, 11 April 2009

Jangan guna KBS untuk raih sokongan belia kepada Umno - Mahfuz

Wan Nordin Wan Yaacob


SEREMBAN - Menteri Belia dan Sukan (KBS) yang baru, Dato' Ahmad Shabery Cheek dinasihatkan agar tidak menggunakan KBS sebagai platform meraih semula sokongan belia kepada Umno.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar kepada Harakahdaily sebentar tadi ketika mengulas kenyataan Shabery berhubung isu kelesuan sokongan belia kepada Umno.

Shabery dalam laporan televisyen semalam dipetik sebagai berkata, beliau akan bekerja keras bagi memastikan golongan belia kembali menyokong Umno.

Ujar Mahfuz, seharusnya tugas untuk menarik sokongan belia digalas oleh Ketua Pemuda Umno yang baru,Khairy Jamaluddin,bukannya KBS.

KBS adalah organisasi kerajaan yang sepatutnya menjalankan tugas membangunkan sahsiah dan akhlak belia hari ini yang semakin parah.

"Bukan tugas KBS untuk menarik sokongan belia yang secara puratanya menyebelahi Pakatan Rakyat dalam tiga pilihan raya kecil yang baharyu sahaja berlalu.

"Sepatutnya tugas ini digalas Khairy, dan Khairy sendiri akui beliau mahu menyahut cabaran Presiden Umno, Najib Tun Razak agar pemuda menarik kembali sokongan belia," kata Mahfuz.

Sambil menyifatkan kenyataan Shabery itu sebagai satu penyalahgunaan jentera kerajaan, Mahfuz menasihatkan Shabery agar berusaha membangunkan mutu sukan negara yang semakin merosot terutamanya di peringkat antarabangsa._

Tiada ulasan: