Isnin, 13 April 2009

Isytihar darurat, Thailand kerah ratusan askar di Bangkok

BERNAMA


BANGKOK: Thailand mengerahkan ratusan anggota tentera hari ini di lebih 50 kawasan di ibu negara ini bagi membantu polis menguatkuasakan perintah darurat dan jurucakap tentera menafikan tindakan itu adalah sebagai rampasan kuasa.

Jurucakap tentera Kol. Sansern Kaewkamnerd memberitahu stesen televisyen TNN bahawa kehadiran anggota tentera hanya untuk membantu pasukan polis dan meminta penduduk supaya tidak panik dengan langkah itu.

"Sudah tentu kami tidak melakukan sebarang rampasan kuasa," katanya.

Petikan klip televisyen yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan anggota tentera meronda di bawah jambatan berdekatan kompleks membelibelah Central World dan Pathumnam tetapi akhbar harian 'Nation' melaporkan penunjuk perasaan antikerajaan berjaya merampas dua kereta kebal berhampiran pusat membeli belah Siam Paragon.

Terdahulu itu, Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva mengumumkan perintah darurat di Bangkok dan lima wilayah berdekatan bagi membendung kegiatan penunjuk perasaan yang memaksa pembatalan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-14 di Pattaya semalam.

Beberapa stesen televisyen juga melaporkan bahawa penyokong bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, yang memakai baju merah, sedang berarak ke rumah Abhisit dan timbalannya Suthep Thaugsuban di sini.

Perintah itu juga membabitkan Samut Prakan di mana terletak Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Nonthaburi, Pathum Thani, Nakhon Pathom dan Ayutthaya.

Pada akhir tahun lepas, lapangan terbang itu ditutup untuk beberapa hari berikutan tindakan penunjuk perasaan yang menentang kepimpinan Abhisit.

"Kerajaan mahu memulihan keadaan dan membawa keamanan di wilayah berkenaan," kata Abhisit yang berjanji akan mengambil tindakan drastik ke atas kumpulan penunjuk perasaan yang beliau menyifatkan sebagai "Musuh Awam".

Katanya, Timbalan Perdana Menteri Suthep Thaugsuban akan bertanggungjawab melaksanakan perintah darurat itu dengan bantuan pasukan polis dan tentera.

Pengumuman perintah darurat itu dilakukan sehari selepas perintah sama diisytiharkan di Pattaya sebelum dibatalkan tujuh jam kemudian selepas kesemua pemimpin ASEAN dan rakan dialog mereka meninggalkan negara itu.

Keadaan di Bangkok menjadi tegang selepas polis menahan seorang bekas penyanyi popular dan bekas penggubal undang-undang Arisamun Pongruengrong, sekutu bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, hari ini kerana memimpin gerakan memprotes di Pattaya.

Perusuh "Baju Merah" bergegas ke Kementerian dalam Negeri di sini di mana Abhisit sedang mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan keselamatan negara.

Laporan berita televisyen menyebut Abhisit meninggalkan pejabat kementerian itu sebelum perusuh tiba tetapi beberapa orang cedera dalam pergelutan dengan anggota keselamatan dan beberapa das tembakan dilepaskan.

Pasukan polis dan tentera dijangka menyuraikan kira-kira 2,000 penunjuk perasaan antikerajaan yang kini menghuni semua jalan menuju ke Rumah Kerajaan sejak 26 Mac lepas.

Bilangan penunjuk perasaan yang menjangkau 100,000 pada Rabu lalu, kini berkurangan kerana kebanyakan mereka pulang untuk menyambut festival Songkran (pesta air) bermula esok.

RAMPAS DUA KERETA PERISAI

Ratusan penunjuk perasaan antikerajaan kumpulan baju merah telah merampas dua kereta perisai manakala beberapa kompleks beli belah utama berdekatan persimpangan terkenal Rachaprasong ditutup kerana bimbang berlaku keganasan, kata seorang saksi.

Saksi itu berkata, beliau terkejut melihat penunjuk perasaan mengambil alih kenderaan itu berdekatan pusat beli belah Siam Paragon.

"Ada kira-kira 500 orang, tapi kemudiannya mereka bersurai ke kawasan lain dan hanya polis yang ada di sini sekarang, kata seorang ekspatriat Malaysia yang bekerja dengan sebuah syarikat multinasional yang berpangkalan di Bangkok.

Beliau berkata, Siam Paragon, Central World dan beberapa pusat beli belah di kawasan itu ditutup manakala hanya para penumpang dibenarkan memasuki stesen BTS (kereta api aliran ringan) di sini.

"Ramai pelancong panik apabila melihat orang berbaju merah. Sehingga ada sesetengah wanita menangis dan cuba mendapatkan teksi untuk keluar dari kawasan itu tapi keadaan trafik tidak bergerak," katanya.

Anggota tentera ditempatkan di lebih 50 kawasan di Bangkok selepas Perdana Menteri Thai Abhisit Vejjajiva mengisytiharkan perintah darurat, manakala polis dikatakan bersedia untuk menyerbu kawasan di mana penunjuk perasaan kumpulan baju merah berkumpul berdekatan dengan Rumah Kerajaan.

Media tempatan melaporkan bahawa anggota tentera pada masa ini sedang mengawal istana Raja Thai Bhumibol Adulyadej dan juga beberapa kementerian utama.

Tiada ulasan: