Isnin, 13 April 2009

Isa: Elok MB ketuai Umno negeri

MALAYSIA KINI


Walaupun lebih setahun sebagai menteri besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu belum lagi dilantik pengerusi badan perhubungan Umno seperti tradisi di negeri-negeri lain.

Jawatan itu sebaliknya masih dipegang oleh bekas menteri besar Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Kedua-dua tokoh politik Umno itu terperangkap dalam perang politik susulan keputusan mengejut istana Arau membelakangkan Shahidan selepas BN menguasai kembali negeri itu dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Gejala yang sama berlaku di Terengganu apabila istana mengangkat Datuk Ahmad Said bagi menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.

Bagaimanapun Idris melepaskan jawatan pengerusi badan perhubungan Umno kepada Ahmad tidak lama selepas itu.

Ketika mengulas cadangan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam bahawa pentadbiran dan politik perlu disepadukan, Md Isa berkata sewajarnya pentadbiran dan politik di bawah satu kepimpinan di peringkat negeri.

Tambahnya, jika menteri besar atau ketua menteri tidak dilantik sebagai pengerusi badan perhubungan Umno, sudah pasti penyelarasan sukar dilakukan dalam hal-hal pentadbiran berkaitan politik, lapor Bernama.

"Terpulang kepada presiden Umno untuk menentukan siapa yang akan dilantiknya sebagai peneraju Umno di negeri ini," Md Isa dipetik berkata semalam selepas melancarkan Unit Khidmat Penyayang Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Setakat Mei tahun lalu, Shahidan enggan melepaskan jawatan pengerusi perhubungan Perlis biar Idris telah berbuat demikian.

Mengulas keputusan Idris, Shahidan dilaporkan berkata "tiada sebab" untuk beliau meletakkan jawatan tersebut.

"Mengapa nak letak jawatan. Saya juga ketua (Umno) bahagian," katanya seperti dilaporkan.

Shahidan mengetuai bahagian Arau, sementara Md Isa bahagian Kangar - dua daripada tiga bahagian di Perlis.

Shahidan malah menegaskan, beliau masih pengerusi perhubungan dan tidak menghadapi masalah dengan jawatan itu.

Tiada ulasan: